Pelaburan RM678 juta ke DNB hanya selesaikan sebahagian masalah - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan RM678 juta ke DNB hanya selesaikan sebahagian masalah - Penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac – Isu Digital Nasional Berhad (DNB) terus menjadi perhatian utama dalam sektor telekomunikasi Malaysia apabila beberapa syarikat terpaksa mengeluarkan pelaburan besar untuk mengekalkan pegangan mereka dalam syarikat rangkaian 5G kerajaan itu.

 

Maxis Berhad dan CelcomDigi Berhad masing-masing membayar tambahan kira-kira RM327.9 juta kepada Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan opsyen jual untuk pegangan mereka dalam DNB.

 

Bayaran itu merangkumi baki pinjaman, pendahuluan pemegang saham serta faedah, menjadikan jumlah pelaburan terkumpul telco dalam DNB meningkat kepada RM678 juta daripada RM350 juta sebelum ini.

 

Dengan pelaburan ini, pegangan kolektif telco dalam DNB kini meningkat kepada 33.3 peratus. Walau bagaimanapun, mereka hanya akan mengambil kira kerugian DNB secara ekuiti sehingga semua syarat dipenuhi, dengan bayaran disimpan dalam amanah sementara waktu.

 

RHB Research menjangkakan penyertaan dalam DNB boleh menyebabkan pencairan sekitar 6 hingga 7 peratus terhadap pendapatan teras Maxis dan CelcomDigi bagi tahun kewangan 2026 sekiranya kerugian DNB hanya berkurangan separuh.

 

Kehilangan salah satu pelanggan utama rangkaian, iaitu Telekom Malaysia Berhad, dijangka menambah tekanan kepada DNB dalam usaha memperbaiki prestasi kewangannya.

 

Walaupun begitu, perjanjian rangkaian teras pelbagai operator (MOCN) antara TM dan U Mobile dijangka memberikan sedikit penjimatan kos borong 5G, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah kerugian DNB sepenuhnya.

 

RHB Research menekankan bahawa isu DNB merupakan faktor penting yang mempengaruhi keuntungan dan strategi telco, terutamanya bagi Maxis dan CelcomDigi yang terlibat secara langsung dalam pelaburan besar ini.

 

Selepas pengumuman keputusan kewangan baru-baru ini, firma tersebut menurunkan unjuran pendapatan bagi CelcomDigi, Maxis dan TM namun menaikkan sedikit unjuran bagi Time dotCom. Tiada perubahan dibuat terhadap cadangan saham.

 

Panduan FY26 menunjukkan pertumbuhan hasil industri dijangka sederhana, dengan EBIT bergerak seiring pertumbuhan hasil, manakala pengurusan modal kekal menjadi fokus terutama bagi pemain talian tetap.

 

Time dotCom menyemak semula nisbah pembayaran dividen (DPR) kepada 50–75 peratus daripada pendapatan dinormalisasi, dan TM mencatatkan DPR 69 peratus bagi FY25, menandakan kemungkinan semakan semula dasar dividen lama pada suku kedua 2026.

 

t

 

Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan Telekom Malaysia sebagai pilihan utama sektor dengan harga sasaran RM9.30, berdasarkan prospek kukuh dalam segmen talian tetap dan pengurusan modal yang lebih agresif pada masa depan.

 

Sementara itu, CGS International berkata, Maxis dan CelcomDigi masing-masing membayar sekitar RM373 juta untuk memperoleh pegangan Kementerian Kewangan dalam DNB, termasuk pinjaman dan pendahuluan tambahan daripada pemegang saham. 

 

Langkah ini dilihat positif dalam mengurangkan keperluan perbelanjaan modal (capex) jangka pendek bagi pelaksanaan rangkaian 5G.

 

CGSI menekankan bahawa risiko jangka sederhana tetap wujud. Operator 5G kedua, U Mobile, berpotensi menurunkan harga kepada pengendali MVNO untuk menarik pelanggan dan membiayai pembangunan rangkaian mereka sendiri, yang boleh menambah persaingan dan menekan margin keuntungan Maxis dan CelcomDigi pada masa depan.

 

Perkembangan terbaharu juga menunjukkan Telekom Malaysia menukar penyedia 5G mereka kepada U Mobile kerana kos lebih rendah dan bersedia melepaskan yuran akses prabayar, menunjukkan persaingan di sektor mudah alih dijangka semakin sengit.

 

Oleh itu, CGSI mengekalkan pandangan Neutral terhadap sektor telekomunikasi mudah alih Malaysia dan cadangan Pegang untuk Maxis dan CelcomDigi, kerana walaupun pengurangan kos capex 5G memberi kesan positif, risiko persaingan yang meningkat menghadkan potensi kenaikan saham.

 

Bagi pelabur yang mencari peluang lebih stabil, CGSI menyarankan fokus kepada Telekom Malaysia dan Axiata. Telekom Malaysia mendapat manfaat daripada infrastruktur talian tetap yang kukuh, manakala Axiata berpotensi meningkatkan nilai saham melalui program monetisasi aset yang sedang dijalankan. - DagangNews.com