Pelaburan RM31 bilion Esteel lonjak pembangunan industri keluli Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan RM31 bilion Esteel lonjak pembangunan industri keluli Sabah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai – Langkah Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel) menambah pelaburan dan memperluas kapasiti operasinya di Sabah menjadi petunjuk jelas terhadap keyakinan berterusan syarikat itu terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negeri tersebut.

 

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, ia terbukti menerusi pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah bagi pembangunan Fasa 2 dan 3 projek loji pembuatan keluli hijau bersepadu bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Gas dan Minyak Sipitang (SOGIP) yang dilaksanakan tahun lalu.

 

Katanya, projek keluli hijau yang menggunakan gas asli menggantikan kok arang dan arang batu dapat mengurangkan pelepasan karbon sehingga 70 peratus yang menjadikannya lebih cekap dan mesra alam.

 

"Selepas memperoleh lesen pembuatan pada Januari lalu, syarikat ini telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan kemajuan pelaburannya di SOGIP kekal berada di landasan yang betul,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Jannie Lasimbang (PH–Kapayan) mengenai perkembangan terkini projek berkenaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

 

Pada Februari lalu, Esteel iaitu anak syarikat Green Esteel Pte Ltd dari Singapura telah menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli bersama Sabah Energy Corporation dan Petronas bagi menjamin bekalan gas dan tenaga yang stabil untuk menyokong operasi loji berkenaan.

 

Pada Mei pula, syarikat itu telah memulakan pelaksanaan Fasa 1 projek tersebut melibatkan pelaburan bernilai RM6.4 bilion.

 

Tambahnya, antara pencapaian penting lain yang telah direkodkan termasuk kelulusan pelan pembangunan kilang oleh Majlis Daerah Sipitang, kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta kelulusan pelan kerja tanah.

 

"Bagi mempercepatkan kerja pembinaan kilang, Esteel telah memuktamadkan perjanjian dengan syarikat yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyediaan tapak yang kini sedang giat dijalankan.

 

"Syarikat itu juga optimis dengan transformasi fizikal tapak akan menjadi lebih ketara menjelang Julai atau Ogos ini, sekali gus menunjukkan kemajuan nyata dan komitmen berterusan dalam merealisasikan pembangunan industri keluli hijau bersepadu di Sabah.

 

"Kementerian saya akan terus komited dalam menyelaras dan memudah cara pelaksanaan pelaburan ini agar operasi kilang dapat dimulakan secepat mungkin untuk merangsang pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya. - DagangNews.com