KUALA LUMPUR 7 Mei — Pengukuhan ringgit mampu meningkatkan daya tarikan ke atas Bursa Malaysia, walaupun pelabur harus memegang saham lebih lama sementara menunggu hasil rundingan berhubung isu tarif, menurut penganalisis.
Firma-firma penyelidikan berkata, terdapat hubungan positif yang teguh antara ringgit dan penanda aras FBM KLCI manakala inisiatif dasar domestik serta penyederhanaan jualan asing bersih juga positif untuk pasaran saham Malaysia.
Antaranya Maybank Investment Berhad (Maybank IB) yang berkata, KLCI terbukti telah dapat meningkat lebih 10 peratus berbanding paras terendah pada 9 April 2025, dengan indeks penanda aras itu di tahap tertinggi sejak 10 Mac 2025.
"Kami percaya pelabur harus menyertai ekuiti Malaysia. Strategi kami adalah untuk berpegang kepada saham jangka panjang dan pilihan bertahan tetapi apabila risiko meningkat, sektor teknologi boleh menarik minat," katanya dalam satu nota.
Ringgit didapati meningkat apabila melonjak hampir tujuh peratus tahun setakat ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bersama-sama kebanyakan mata wang serantau di tengah-tengah kelemahan dolar AS yang semakin meluas.
Pelabur asing juga telah membeli ekuiti Malaysia sejak dua minggu lalu, dengan data terkini menunjukkan saham terkumpul bersih bernilai RM1.4 bilion, dan mereka turut membeli sebanyak RM2.8 bilion bersih bon kerajaan pada Mac 2025.
Bagi Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula, keuntungan ringgit dilihat memanfaatkan sektor dan firma yang berat kepada aktiviti pengimportan dengan pendedahan besar kepada hutang dolar AS sambil mengheret keuntungan pengeksport.
"Saham berpotensi adalah dalam sektor automotif, penerbangan, pengguna dan media, manakala yang mungkin rugi adalah perkhidmatan pembuatan elektronik, sarung tangan, minyak dan gas, teknologi dan kayu," katanya.
Bagaimanapun kata firma tersebut, pelabur harus melihat di luar kekuatan semasa ringgit serta perlu memberi tumpuan kepada 'unsur dan asas ganjaran-risiko' selain mengulangi jualan atas kekuatan buat masa sekarang.
Pada masa sama, mereka turut harus kekal bersedia untuk berpusing balik membeli ketika berlaku kelemahan ringgit kerana KLCI dijangka berpotensi meningkat pada akhir 2025 dengan 1,690 mata berbanding ketika ini adalah 1,542 mata.
Strategi itu kata HLIB, harus dipadankan kepada faktor dividen tinggi, saham yang bermodal besar, dan defensif dengan kedudukan terpilih ketika terkurang nilai. - DagangNews.com








