KUALA LUMPUR 16 Mac – Pelabur asing kembali menjual ekuiti di Bursa Malaysia selepas seminggu sebagai pembeli, dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM725.6 juta, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kelompok tersebut menjadi penjual tertinggi pada Jumaat (RM315.8 juta), diikuti Isnin (RM168.5 juta), Khamis (RM138.2 juta), Selasa (RM100.5 juta) dan Rabu (RM2.6 juta)
Tiga sektor utama jelasnya, namun mencatatkan aliran masuk bersih asing yang paling besar iaitu perladangan (RM118.6 juta), pengangkutan dan logistik (RM95.8 juta) serta REIT (RM46.0 juta).
"Tiga sektor menyaksikan aliran keluar bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan sebanyak RM138.4 juta, telekomunikasi dan media (RM147.2 juta) serta hartanah (RM121.4 juta)," katanya dalam nota.
MBSB Research namun menambah, institusi tempatan kembali mencatatkan pembelian bersih mereka sebanyak RM621.1 juta selepas selama lima minggu berturut-turut menyaksikan aliran keluar dana.
Pada masa yang sama jelasnya, pelabur runcit tempatan pula mula mencatatkan rentak pembelian bersih selepas seminggu menjadi penjual, dengan jumlah aliran masuk sebanyak RM104.5 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) katanya, meningkat dengan peruncit tempatan dan institusi tempatan naik masing-masing 3.4% dan 1.0%, manakala pelabur asing menambah 7.4%. - DagangNews.com








