Pelabur asing jual RM392.3 juta ekuiti tempatan selepas 4 minggu jadi pembeli bersih - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM392.3 juta ekuiti tempatan selepas 4 minggu jadi pembeli bersih - MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Mei — Pelabur asing menukar rentak dagangan mereka di Bursa Malaysia apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM392.3 juta, pada minggu lalu.


MIDF Research berkata, jumlah itu membawa kepada keseluruhan jualan bersih asing sepanjang tahun ini kepada RM9.8 bilion setelah pembelian empat minggu berturut-turut menyaksikan aliran masuk terkumpul RM3.29 bilion.


Katanya, pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari dengan aliran keluar antara RM900,000 hingga RM207.7 juta. 

 

 

 

 


Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan pada hari Khamis, diikuti Selasa sebanyak RM80.5 juta


"Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM56.5 juta), pembinaan (RM54.4 juta) serta telekomunikasi dan media (RM48.1 juta). 


"Tiga sektor mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM240.9 juta) dan perkhidmatan dan produk pengguna (RM139.1 juta) serta perkhidmatan dan produk pengguna perindustrian (RM86.2 juta)," katanya dalam satu nota kajian.


MIDF Research berkata, institusi tempatan mengakhiri jualan mereka untuk empat minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM222.9 juta.


Sementara itu, pelabur runcit tempatan tidak meneruskan trend jualan mereka untuk minggu kelima, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak 169.4 juta.


Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan penyusutan secara menyeluruh minggu lalu.


Institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 36.8% dan 28.1%, manakala pelabur asing mencatatkan kemerosotan sebanyak 29.1%. - DagangNews.com