Pelabur asing jual ekuiti RM168.3 juta di Bursa Malaysia minggu kedua berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti RM168.3 juta di Bursa Malaysia minggu kedua berturut-turut

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Mac - Pelabur asing terus menjual ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM168.3 juta, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, jualan paling tinggi pada Khamis (RM244.3 juta), diikuti Isnin (RM175.5 juta), manakala Selasa (RM159.7 juta), dan Rabu (RM91.8 juta) pula mencatatkan belian bersih.


Tiga sektor utama jelasnya, mencatatkan aliran masuk bersih asing terbesar iaitu perladangan (RM156.8 juta), perkhidmatan dan produk industri (RM90.7 juta) serta penjagaan kesihatan (RM61.0 juta).


"Tiga sektor menyaksikan aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM399.3 juta), perkhidmatan dan produk pengguna (RM56.3 juta) serta pembinaan (RM56.3 juta)," katanya.


MBSB Research  dalam nota analisis tersebut namun menambah, institusi tempatan terus mencatatkan pembelian bersih sebanyak RM332.8 juta di Bursa Malaysia untuk minggu yang kedua berturut-turut.


Pada masa yang sama jelasnya, pelabur runcit tempatan pula mula mencatatkan rentak penjualan bersih selepas seminggu menjadi pembeli, dengan jumlah aliran keluar sebanyak RM164.6 juta.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) katanya, adalah menurun dengan peruncit tempatan dan institusi tempatan susut masing-masing 12.7% dan 14.6%, manakala pelabur asing menambah 7.0%. - DagangNews.com