KUALA LUMPUR 3 Jun — Pelabur asing meneruskan rentak jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.02 bilion, pada minggu lalu.
MIDF Research berkata, jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding RM392. juta dicatatkan pada minggu sebelumnya.
Katanya, pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari dengan aliran keluar antara RM61.4 juta sehingga RM456.7 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan pada hari Jumaat, diikuti Khamis sebanyak RM234.6 juta.
Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah hartanah (RM47.9 juta), pembinaan (RM33.3 juta) serta tenaga (RM5.2 juta).
"Tiga sektor mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM565.8 juta) dan perkhidmatan dan produk pengguna (RM172.2 juta) serta penjagaan kesihatan (RM129.9 juta)," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research berkata, institusi tempatan meneruskan pembelian mereka untuk dua minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM876.5 juta.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan mengekalkan trend pembelian mereka untuk minggu kedua, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM142.6 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu.
Institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 0.03% dan 1.0%, manakala pelabur asing mencatatkan lonjakan sebanyak 45.6%. - DagangNews.com








