Pelabur asing jual bersih RM451.5 juta, institusi tempatan kembali borong saham – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual bersih RM451.5 juta, institusi tempatan kembali borong saham – MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Sept – Bursa Malaysia menyaksikan perubahan sentimen pelabur asing minggu lalu apabila mereka kembali menjadi penjual bersih dengan jumlah aliran keluar sebanyak RM451.5 juta, sekali gus menamatkan dua minggu berturut-turut aliran masuk modal asing.

 

Menurut MBSB Research, pelabur asing mencatat jualan bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar tertinggi berlaku pada Khamis (–RM223.5 juta). 

 

Hari-hari lain turut merekodkan aliran keluar seperti Selasa (–RM101.6 juta), Rabu (–RM67.4 juta), Jumaat (–RM41.8 juta) dan Isnin (–RM17.2 juta).

 

Sektor Pengguna Terus Tarik Modal Asing

 

Walaupun terdapat aliran keluar keseluruhan, beberapa sektor utama tetap menerima minat belian daripada pelabur asing. 

 

Antara sektor yang mencatat aliran masuk bersih tertinggi ialah Produk & Perkhidmatan Pengguna: RM127.0 juta, Perladangan: RM61.2 juta dan Tenaga RM49.4 juta

 

Sebaliknya, sektor berikut mencatat aliran keluar asing tertinggi; Perkhidmatan Kewangan: –RM241.1 juta, Utiliti: –RM177.7 juta dan Penjagaan Kesihatan: –RM137.2 juta.

 

Institusi Tempatan Kembali Aktif Membeli

 

Institusi tempatan kembali ke pasaran dengan aktiviti belian bersih selepas dua minggu berturut-turut menjual, mencatatkan aliran masuk sebanyak RM696.0 juta.

 

Dalam masa yang sama, pelabur runcit tempatan meneruskan trend jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar sebanyak RM244.6 juta.

 

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) juga menunjukkan peningkatan secara menyeluruh dengan pelabur runcit tempatan meningkat sebanyak +2.8%, Institusi tempatan naik +1.6% dan pelabur asing pula mencatat penurunan ketara sebanyak –39.7%

 

Perubahan aliran pelaburan ini menunjukkan isyarat berhati-hati dari pelabur asing, walaupun minat terhadap sektor pengguna, tenaga dan perladangan kekal positif. 

 

Dalam masa yang sama, institusi tempatan mengambil peluang untuk kembali mengukuhkan pegangan dalam pasaran. - DagangNews.com