KUALA LUMPUR 19 Mei — Pelabur asing meneruskan rentak belian mereka di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM1.68 bilion, pada minggu lalu.
MIDF Research berkata, jumlah tersebut adalah hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding sebanyak RM422.6 juta yang dicatatkan pada minggu lalu.
Katanya, pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari dengan aliran masuk antara RM185.6 juta hingga RM797.4 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran masuk bersih tertinggi dicatatkan pada hari Isnin, diikuti Selasa pada RM488.4 juta
"Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM797.2 juta), utiliti (RM218.6 juta) serta telekomunikasi dan media (RM179.7 juta).
"Dua sektor sahaja yang mencatatkan aliran keluar bersih iaitu tenaga (RM56.3 juta) dan amanah pelaburan hartanah (RM3.7 juta)," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research berkata, institusi tempatan juga meneruskan jualan bersih mereka untuk empat minggu berturut-turut, dengan aliran keluar sebanyak RM1.35 bilion.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan trend jualan bersih mereka untuk minggu kelima, kepada RM330.2 juta berbanding RM24.8 juta pada minggu sebelumnya.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu.
Institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 50.9% dan 31.8%, manakala pelabur asing mencatatkan peningkatan sebanyak 42.6%. - DagangNews.com








