PEKEMA, Aquateak tubuh SenangCas, bina rangkaian pengecas EV seluruh negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PEKEMA, Aquateak tubuh SenangCas, bina rangkaian pengecas EV seluruh negara

PEKEMA dan Aquateak bekerjasama rancakkan industri EV Malaysia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai – Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) terus memainkan peranannya sebagai peneraju mobiliti hijau negara dengan pelbagai inisiatif baharu untuk merancakkan lagi industri tersebut.

 

Terbaharu, PEKEMA telah  menandatangani kerjasama strategik dengan Aquateak Energy Sdn Bhd untuk menubuhkan syarikat usaha sama, SenangCas Sdn Bhd bagi mempercepatkan pembinaan rangkaian pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh Malaysia. 

 

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata, antara fokus utama SenangCas adalah untuk membina lebih 650 pengecas EV di lokasi strategik seluruh negara, termasuk pusat bandar dan lebuh raya utama, menjelang hujung 2026. 

 

"Selain itu, ia juga akan memfokuskan penggunaan tenaga bersih serta teknologi grid pintar bagi memastikan sistem boleh berfungsi tanpa gangguan. 

 

"Kerjasama ini akan menjadi pemangkin pembangunan infrastruktur EV yang lebih mampan, pintar dan mesra pengguna selain membuka peluang perniagaan baharu kepada syarikat tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

test

 

 

Tambahnya, inisiatif PEKEMA itu juga sangat signifikan dalam mendukung aspirasi negara menuju mobiliti rendah karbon, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

"Melalui kolaborasi dengan Aquateak Energy, kami mahu PEKEMA muncul sebagai peneraju dalam membina jaringan pengecasan EV yang lebih cekap, pintar serta mudah digunakan.

 

"Ini adalah langkah holistik kami untuk membantu negara mencapai sasaran 10,000 stesen pengecas EV awam menjelang 2030,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Aquateak Energy, Datuk Tarmizi Jusoh berkata, kerjasama itu menggabungkan kepakaran teknikal Aquateak dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan keupayaan PEKEMA mengembangkan pasaran. 

 

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan PEKEMA menerusi inisiatif ini. Ia bukan sahaja membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon, malah memberi manfaat terus kepada pengguna melalui kemudahan pengecasan yang lebih luas dan pantas,” katanya. 

 

PEKEMA yang ditubuhkan pada 1981 adalah persatuan pengimport dan peniaga kenderaan di seluruh negara yang komited untuk memperkasakan komuniti automotif Melayu melalui pertumbuhan ekonomi dan perpaduan.

 

Dengan hampir 500 gudang berlesen di seluruh Malaysia, PEKEMA mewakili lebih 400 syarikat ahli, termasuk 354 pemegang AP.- DagangNews.com

 

test

 

test