Pekat Group berpotensi catat hasil lebih baik disokong penerimaan kontrak besar - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekat Group berpotensi catat hasil lebih baik disokong penerimaan kontrak besar - UOBKH

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Mac — Syarikat kejuruteraan elektrik dan tenaga solar, Pekat Group Bhd berpotensi mencatatkan hasil yang lebih baik pada tahun ini disokong buku pesanan kukuh dan penyatuan setahun penuh EPE Switchgear (M) Sdn Bhd.
 

UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, ia akan membuka jalan kepada kmpulan itu untuk terlibat dalam pengurusan modal aktif dan kemungkinan disenaraikan dalam Papan Utama Bursa Malaysia menjelang akhir tahun ini.
 

Pekat ketika ini sudah memiliki buku pesanan berjumlah RM600 juta, termasuk RM260 juta daripada bahagian solar, RM100 juta daripada pembumian dan perlindungan kilat (ELP) dan bahagian dagangan, serta sebanyak RM240 juta daripada EPE Switchgear.
 

"Kami menyertai mesyuarat bersama-sama pengurusan kumpulan itu baru-baru ini yang kelihatan lebih yakin mengenai prospek jangka pendek syarikat dengan buku pesanan begitu kukuh merentasi segmen solar dan ELP," katanya dalam satu nota kajian.
 

Firma penyelidikan itu meningkatkan unjuran keuntungan bersih Pekat untuk sepanjang tahun ini dan tahun depan masing-masing sebanyak 22 peratus dan 26 peratus kepada masing-masing RM37.7 juta dan RM45.1 juta.
 

Ia turut mengambil kira kejayaan EPE Switchgear yang mengumumkan kemenangan kontrak RM97 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tender membekalkan pemutus litar bar tunggal 11 kilovolt kepada rangkaian pengagihan elektrik.
 

UOBKH Research turut menjangkakan satu lagi tender besar daripada pihak TNB dengan nilai kira-kira RM300 juta menjelang Jun, untuk projek alat suis berpenebat gas.
 

"Kami mengambil perhatian bahawa saiz tender TNB telah meningkat dari tahun ke tahun, dan ia memanfaatkan syarikat seperti EPE Switchgear," kata firma penyelidikan itu lagi.
 

UOBKH Research menambah bahawa prospek cerah untuk tahun ini juga disokong oleh penyatuan setahun penuh EPE Switchgear, kontrak pembinaan Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) bernilai RM110 juta yang akan siap menjelang akhir tahun ini, dan buku pesanan ELP yang kukuh daripada rangkaian paip kerja pusat data yang teguh di negara ini.
 

Sehubungan itu, ia mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun pendapatan selama tiga tahun yang kukuh sebanyak 32 peratus antara tahun ini dan 2027.
 

“Berikutan pemerolehan kepentingannya dalam EPE Switchgear, Pekat memperkenalkan bahagian peralatan pengagihan kuasa baharu, menambah RM10 juta atau 3 peratus kepada asas pendapatannya," kata firma penyelidikan itu.
 

Melangkah ke hadapan, penyatuan keputusan setahun penuh daripada EPE Switchgear akan menyaksikan hasil kumpulan meningkat dua kali ganda daripada asas tahun lepas sebanyak RM291 juta.
 

Selain itu UOBKH Research berkata sepanjang lepas, Pekat Group mendapat manfaat daripada proek fotovoltaik kerana margin keuntungan bersih mencapai sasaran dalamannya sebanyak 8 peratus hingga 10 peratus daripada hasil.
 

UOBKH Research mengekalkan saranan “beli” untuk syarikat ini dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM1.45 sesaham daripada RM1.30. - DagangNews.com