Pegangan Felda dalam FGV lepasi 82% sebelum tarikh akhir diswastakan 8 Julai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pegangan Felda dalam FGV lepasi 82% sebelum tarikh akhir diswastakan 8 Julai

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Jun — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menaikkan pegangan dalam FGV Holdings Berhad kepada lebih 82 peratus, iaitu percubaan kedua bagi menswastakan kumpulan itu menjelang tarikh akhir 8 Julai 2025.


Agensi tersebut memperoleh lagi keseluruhan saham FGV yang berjumlah 2.25 juta antara 27 Mei dan 3 Jun 2025, dengan meningkatkan pegangan langsungnya kepada sebanyak 69.82 peratus atau 2.55 bilion saham.


Langkah berkenaan termasuk pegangan pelbagai pihak yang bertindak secara konsert (PAC) dengan Felda kini sudah menguasai kira-kira 82.24 peratus ekuiti kumpulan perladangan itu, atau sebanyak lebih tiga bilion saham.


Urus niaga tersebut dilaksanakan susulan tawaran pengambilalihan secara sukarela tanpa bersyarat oleh agensi pembangunan pertanian luar bandar yang disokong kerajaan itu sejak dilancarkan pada 26 Mei 2025.


"Tawaran ini berharga RM1.30 sesaham, dibuat melalui Maybank Investment Bank Berhad bagi pihak Felda memperoleh semua baki saham yang belum dimiliki oleh Felda dan PACnya," katanya dalam makluman kepada bursa.


Tawaran itu diklasifikasikan sebagai tidak bersyarat kerana Felda sudah memegang lebih 50 peratus saham pengundian FGV, dan memberikannya kawalan tanpa memerlukan kelulusan pemegang saham selanjutnya.


Felda yang dalam proses menyahsenaraikan syarikat tersebut daripada bursa, mesti meningkatkan pegangannya kepada sebanyak 90 peratus menjelang tarikh tutup tawaran berkenaan pada 8 Julai 2025.


Jika ambang berkenaan dicapai, dagangan saham FGV akan digantung selama tempoh lima hari pasaran kemudian, dan diikuti dengan pengeluaran rasmi daripada penyenaraian Pasaran Utama.


Ini percubaan kedua Felda menswastakan FGV setelah tawaran serupa dibuat pada Disember 2020 dengan harga sama sebelum ditutup pada Mac 2021 dan Felda memegang 81 peratus, di bawah paras diperlukan untuk pemerolehan wajib.


Dagangan saham FGV meningkat secara mendadak beberapa minggu kebelakangan ini dengan bermula RM1.12 pada awal 2025 tetapi kebanyakannya berlegar antara RM1.01 dan RM1.16 sebelum pengumuman pengambilalihan.


Bagaimanapun pada 2 Mei 2025, saham melonjak kepada RM1.19 daripada RM1.09, dengan jumlah dagangan mencecah sebanyak 3.97 juta saham. 


Ia merupakan sesi paling sibuk di kaunter itu dalam setahun, serta mencetuskan spekulasi bahawa pasaran sudah pun menghidu pulangan Felda.


Seterusnya ia meningkat pada pertengahan Mei, dengan saham mencecah RM1.35 pada 16 Mei 2025, iaitu paras tertinggi sejak kenaikan awal Mei.


Pada 27 Mei 2025, sehari selepas tawaran Felda itu diumumkan, jumlah dagangan meningkat kepada 6.96 juta saham.


Ini menandakan hari dagangan saham paling sibuk dalam tempoh lebih dua tahun, dengan harga ditutup pada paras tawaran sebanyak RM1.30.


Pada penutupan pasaran hari ini, saham FGV naik satu sen, atau 0.77 peratus, kepada RM1.31, dengan 652,300 saham diniagakan.


Ini memberikan syarikat itu nilai permodalan sebanyak RM4.74 bilion.


FGV membuat penampilan sulungnya di Bursa Malaysia pada Jun 2012, dengan mengumpul RM10.4 bilion pada RM4.55 sesaham. 


Tawaran awam permulaan, yang menilai kumpulan tersebut pada RM16.6 bilion, adalah yang kedua terbesar di dunia pada tahun berkenaan selepas saham Facebook.


Penganalisis telah mengesyorkan agar pelabur menerima tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat Felda untuk menswastakan FGV.


Mereka menyifatkan tawaran tunai RM1.30 sesaham sebagai adil dan menarik, dengan peluang keluar yang jelas untuk para pemegang saham.


Tawaran itu juga dilihat sebagai aras jangka pendek untuk saham FGV, mewakili premium kira-kira 10 peratus berbanding harga purata wajaran volum setahunnya. - DagangNews.com