KUALA LUMPUR, 6 Nov – Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) terus memperkukuh jaringan strategiknya apabila menjalin kerjasama rasmi dengan EON Berhad, salah satu pengedar utama kenderaan jenama Proton di Malaysia.
Usaha ini dirangka bagi memberi manfaat kepada alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya graduan baharu, dalam membantu mereka memulakan kehidupan pascakonvokesyen dengan lebih selesa, berdaya saing dan stabil dari segi kewangan.
Menurut kenyataan PAUPM hari ini, melalui kerjasama tersebut, EON Berhad menawarkan diskaun serta promosi eksklusif kepada semua alumni UPM bagi pembelian pelbagai model Proton termasuk Saga, Iriz dan Persona.
Antara keistimewaan yang ditawarkan ialah bayaran ansuran percuma selama tiga bulan, cukai jalan percuma selama setahun, rebat tunai sehingga RM4,000, serta bonus trade-in bernilai RM500.
Ketua Pegawai Operasi EON Berhad, Hazwan Yahya berkata, yang juga alumni UPM kelas 2001, berkata kolaborasi ini mencerminkan komitmen syarikat untuk menyumbang kembali kepada universiti dan masyarakat yang telah banyak membentuk kepimpinan profesional negara.
“Secara peribadi, saya melihat inisiatif ini sebagai peluang untuk saya sendiri memberi kembali kepada alma mater tercinta yang banyak membentuk perjalanan akademik dan kerjaya saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis penyerahan surat perjanjian kerjasama tersebut telah diadakan di Pejabat Persatuan Alumni UPM, disaksikan oleh barisan kepimpinan PAUPM serta wakil universiti.
Antara yang hadir ialah wakil alumni dalam Lembaga Pengarah Universiti, Mohamad Sabri Mohamad Salleh, Timbalan Presiden PAUPM, Shahrudin Mahadi, Setiausaha Agung PAUPM, Mat Amin Jaafar, dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Fahmi Azar Mistar.
Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), selaku entiti penghubung antara PAUPM dan universiti, turut menyambut baik langkah ini dan berharap lebih banyak kolaborasi strategik seumpamanya dapat dijalinkan pada masa hadapan.
“Kerjasama seperti ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada alumni, malah memperkukuh semangat ‘Berilmu Berbakti’ yang menjadi teras Universiti Putra Malaysia,” katanya.
Kerjasama PAUPM–EON ini dilihat sebagai satu model perkongsian strategik yang menghubungkan sektor pendidikan tinggi dengan industri automotif, seiring aspirasi memperkukuh ekosistem alumni universiti serta menyokong pembangunan sosioekonomi graduan muda negara. - DagangNews.com








