Pastikan butiran MyKad dan lesen selaras sebelum nikmati subsidi BUDI95 - Kementerian Kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pastikan butiran MyKad dan lesen selaras sebelum nikmati subsidi BUDI95 - Kementerian Kewangan

Gambar MoF
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept – Orang ramai diingatkan supaya memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi memastikan kelayakan menikmati subsidi bersasar Budi MADANI RON95 tidak terjejas.

 

Berdasarkan analisis Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pengangkutan (MoT), terdapat sebahagian data lesen memandu yang masih menggunakan nombor lama (seperti nombor polis, nombor tentera, atau nombor IC lama) dan tidak sepadan dengan format MyKad 12 digit.

 

Sehubungan itu, MoF menyarankan rakyat yang layak menerima subsidi itu supaya  menyemak maklumat pada lesen memandu masing masing.

 

“Selain memastikan lesen masih sah, pengguna perlu memastikan nombor MyKad 12 digit digunakan dan direkod dengan betul dalam lesen memandu.

 

“Nama pemegang lesen mestilah tepat manakala kategori kelas dan jenis kenderaan dinyatakan dengan betul.

 

“Penyelarasan ini diperlukan kerana butiran di lesen memandu akan disemak silang dengan maklumat dalam MyKad, yang akan dibaca oleh terminal pembayaran di stesen minyak untuk pengesahan kelayakan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama yang menikmati inisiatif subsidi petrol itu bermula 27 September lalu sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah pada 28 September.

 

Bermula esok pula,semua warganegara Malaysia yang layak akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 sebanyak 300 liter dengan RM1.99 setiap liter.

 

Kementerian berkata, orang ramai boleh hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemas kini maklumat lesen memandu sekiranya terdapat sebarang masalah.

 

“MOF dan MoT akan menyegerakan penyelarasan data secara mingguan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga bersubsidi BUDI95,” katanya.

 

Dalam pada itu, kementerian memaklumkan hari kedua BUDI95 berjalan lancar untuk penerima STR.

 

“Dari segi pelaksanaan, sistem BUDI95 kekal stabil pada hari kedua (28 September 2025) apabila ia dibuka kepada penerima STR dengan lesen memandu aktif. 

 

“Hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima STR, bersama anggota tentera dan polis telah melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak di seluruh negara.

 


“Sepanjang 28 September 2025, sebanyak RM22.9 juta pembelian telah direkodkan bagi 11.5 juta liter petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, dengan pengesahan MyKad di stesen minyak berjalan lancar,” kata kementerian itu.

 

MoF merakamkan penghargaan kepada semua penerima STR yang telah memanfaatkan 

 

Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September 2025, seramai 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan mereka untuk memanfaatkan subsidi RON95.

 

Portal BUDI95 kini juga dilengkapi dengan ciri semakan sejarah transaksi BUDI95. 

 

Untuk mengakses ciri ini, pengguna perlu mendaftar dan log masuk ke portal BUDI95 dengan menggunakan MyDigital ID. MyDigital ID digunakan sebagai langkah keselamatan bagi memelihara identiti digital serta maklumat peribadi rakyat dalam aplikasi Kerajaan.

 

Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com