Pasaran pejabat Lembah Klang tunjuk tanda pemulihan - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran pejabat Lembah Klang tunjuk tanda pemulihan - HLIB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai – Pasaran pejabat di Lembah Klang mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas lebih sedekad berdepan lebihan bekalan dan permintaan yang lemah dengan pengambilan ruang pejabat berkualiti tinggi dilihat semakin meningkat, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan terhadap ruang pejabat yang lebih berkualiti mula menunjukkan peningkatan seperti Menara V2 Sunway yang hampir mencapai kadar penghunian penuh dalam tempoh setahun selepas siap dibina.

 

Sunway Square ialah projek pejabat dua menara dengan jumlah keluasan boleh disewa sebanyak satu juta kaki persegi dan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2025 telah menerima komitmen penyewa bagi separuh daripada ruang satu menara manakala rundingan bagi menara kedua masih berjalan.

 

“Ini merupakan pencapaian pra-penyewaan yang memberangsangkan memandangkan keluasan ruang yang besar. Kadar sewa yang ditawarkan juga kompetitif melebihi RM6 sekaki persegi,” kata HLIB dalam nota kajiannya.

 

Contoh lain ialah IOI City Tower 1 di Putrajaya yang siap dibina sejak 2015 namun kekal hampir kosong selama sembilan tahun. 

 

Namun, sejak 2024, kadar penghunian menara tersebut mula meningkat secara berterusan dan kini telah disewa sepenuhnya.

 

IGB Commercial Real Estate Investment Trust (REIT), pemilik portfolio aset pejabat yang tertumpu di kawasan Kuala Lumpur turut mencatatkan peningkatan berterusan dari segi penghunian dan kadar sewaan. 

 

Kadar penghunian purata meningkat daripada 75.4% pada tahun kewangan 2019 kepada 89.2% pada suku pertama 2025 manakala kadar sewaan purata meningkat daripada RM6.15 kepada RM6.42 sekaki persegi dalam tempoh sama.

 

HLIB berkata, peralihan tumpuan ekonomi negara ke arah industri bernilai tinggi dan berteknologi tinggi mendorong peningkatan permintaan terhadap aktiviti berasaskan pejabat seperti penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk serta operasi pengurusan serantau.

 

“Apabila pelaburan langsung asing (FDI) mula matang, banyak syarikat multinasional mula berkembang ke arah penubuhan ibu pejabat serantau dan pejabat sokongan.

 

“Kestabilan politik yang baharu dan pelan nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 serta Peta Laluan Peralihan Tenaga Negara membantu mengembalikan keyakinan pelabur. 

 

"Kelebihan kos dan tenaga kerja berkemahiran turut menjadikan Malaysia lokasi strategik sebagai hab pejabat serantau,” katanya.

 

Pasaran pejabat Lembah Klang sebelum ini mengalami kelembapan selama 10 hingga 15 tahun akibat ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan. 

 

Kadar kekosongan purata di Kuala Lumpur dan Selangor kekal tinggi antara 20 hingga 30 peratus manakala kadar sewaan kekal rata.

 

Menurut HLIB, ketidakseimbangan ini berpunca daripada gelombang pembangunan pejabat secara besar-besaran yang jauh melebihi pertumbuhan perniagaan sebenar khususnya semasa tempoh kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

 

Antara projek besar yang disiapkan dalam tempoh itu termasuk The Exchange 106, Menara Affin, Menara IQ, Merdeka 118 dan Pavilion Damansara Heights.

 

Firma tersebut menjelaskan sepanjang tempoh tersebut, banyak pemilik perniagaan telah mengurangkan operasi dan trend kerja jarak jauh juga semakin meluas, sekali gus mengakibatkan lebihan ruang pejabat dalam pasaran yang telah pun lemah.

 

HLIB menjangkakan pemulihan akan bermula di kawasan luar bandar Kuala Lumpur, Selangor dan pusat bandar apabila lebihan ruang diserap secara berperingkat.

 

Dalam fasa pemulihan ini, firma itu menjangka prestasi terbaik akan dicatatkan oleh bangunan pejabat baharu Gred A yang memiliki pensijilan hijau, kecekapan tenaga, mudah diakses melalui pengangkutan awam serta dikendalikan oleh pasukan pengurusan hartanah yang kukuh.- DagangNews.com