Pasaran buruh kekal stabil sokong perbelanjaan domestik, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran buruh kekal stabil sokong perbelanjaan domestik, kata HLIB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

 KUALA LUMPUR 14 Julai – Pasaran buruh Malaysia kekal berdaya tahan dalam pelbagai sektor dengan kestabilan pekerjaan dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, dinamik pasaran buruh kekal positif berikutan kewujudan pekerjaan dan peningkatan kadar gaji yang berterusan, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan meskipun berdepan ketidaktentuan global ketika ini.

 

Sektor perkhidmatan mencatat kenaikan gaji tahunan sebanyak 4.1 peratus  pada suku pertama 2025 manakala gaji sektor pembuatan meningkat 2.4 peratus pada April.

 

Bagaimanapun, HLIB turut menegaskan  risiko penurunan kekal terutamanya akibat ketidaktentuan dasar perdagangan global yang boleh memberi tekanan kepada sentimen perniagaan dan pengguna.

 

“Langkah Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Julai dijangka membantu meredakan ketidaktentuan ekonomi semasa.

 

“Berdasarkan penilaian semasa, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada kadar 4.0 peratus,” kata HLIB dalam satu nota kajiannya.

 

HLIB turut melaporkan keadaan pasaran buruh terus bertambah baik pada Mei disokong oleh asas domestik yang kukuh dan dasar sokongan yang berterusan.

 

Data pengangguran bulanan menurun sebanyak 0.7 peratus pada Mei, sama seperti penurunan yang dicatatkan pada April. 

 

Secara tahunan, kadar pengangguran susut 5.7 peratus berbanding 5.5 peratus pada bulan sebelumnya.

 

Firma itu berkata, kadar pengangguran kekal stabil pada paras 3.0 peratus.

 

“Dari segi tempoh pengangguran, peratusan individu yang menganggur kurang daripada tiga bulan meningkat kepada 64.4 peratus pada Mei berbanding 64.2 peratus pada April. 

 

“Bagi tempoh tiga hingga kurang enam bulan dan enam hingga kurang 12 bulan pula, kadar masing-masing kekal pada 20.3 peratus dan 10.2 peratus.

 

“Peratusan mereka yang menganggur lebih setahun terus menurun kepada 5.1 peratus, berbanding 5.3 peratus pada April,” kata HLIB.

 

Jumlah pencari kerja aktif juga menurun kepada 416,400 pada Mei berbanding 418,600 pada bulan sebelumnya.

 

Selain itu, firma tersebut melaporkan peningkatan pengambilan pekerja meningkat secara sederhana dengan pertambahan bulanan sebanyak 0.3 peratus pada Mei berbanding 0.2 peratus pada April, manakala pertumbuhan tahunan meningkat kepada 2.9 peratus berbanding 2.8 peratus sebelumnya.

 

Sektor perkhidmatan khususnya penginapan dan makanan, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pekerjaan. Peningkatan guna tenaga turut direkodkan dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pertanian.

 

“Tenaga buruh negara terus berkembang pada kadar 0.2 peratus pada Mei, sama seperti April. 

 

“Pertumbuhan tahunan meningkat sedikit kepada 2.6 peratus daripada 2.5 peratus dan kadar penyertaan tenaga buruh kekal stabil pada 70.8 peratus,” menurut HLIB.

 

Dalam laporan berasingan, HLIB memetik data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menunjukkan penurunan lanjut dalam jumlah kehilangan pekerjaan kepada 5,300 pada Jun berbanding 6,200 pada Mei.

 

Kebanyakan kes kehilangan pekerjaan berlaku dalam sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.

 

Selangor dan Kuala Lumpur kekal sebagai negeri dengan kadar tertinggi kehilangan pekerjaan, masing-masing mencatat 32.3 peratus dan 28.4 peratus daripada jumlah keseluruhan.- DagangNews.com