Paramount tetap yakin prospek Eco World International berikutan perubahan fokus pasaran Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paramount tetap yakin prospek Eco World International berikutan perubahan fokus pasaran Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Jun — Paramount Corporation Berhad kekal yakin terhadap prospek pelaburannya dalam Eco World International Berhad (EWI) susulan perubahan perancangan yang ingin memberikan fokus kepada pasaran Malaysia.

 

Kumpulan pemaju hartanah tersebut menguasai EWI selepas membeli 21.45 peratus pegangannya bernilai RM170.61 juta, daripada GLL EWI (Hong Kong) Ltd pada Mei 2024. 


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, penguasaan ekuiti daripada firma yang dimiliki oleh hartawan Tan Sri Quek Leng Chan itu sebenarnya untuk mempercepatkan proses pengembangan perniagaannya dalam pasaran luar negara.

 

Menurut beliau, projek EWI di Britain dan Australia masih lagi kekal sebagai sebahagian daripada portfolionya serta turut memberikan nilai yang sejajar dengan matlamat strategik syarikat.


"Objektif kami sentiasa untuk menyimpan beberapa aset di luar Malaysia dan apabila EWI telah memutuskan untuk juga mungkin melancarkan projek di Malaysia, mereka tidak mengatakan akan menyingkirkan pula semua projek di luar negara," katanya.


EWI mengumumkan perubahan rancangan dari pasaran asing ke Malaysia pada Mei 2025 susulan masalah yang dihadapinya di Britain dan Australia sejak wabak Covid-19 serta akan menyaksikan kumpulan itu menukar namanya kepada EWI Capital Bhd.


Ia turut dilaporkan bertindak drastik apabila menamatkan segala perjanjian kerjasama yang sedia ada dengan pemegang saham tunggal terbesarnya iaitu Eco World Development Group Berhad.


Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, pada masa ini, Paramount cukup berpuas hati dengan objektif asal EWI dan berpendapat, pelaburan dalam EWI masih memenuhi objektif kumpulan tersebut.


"Tiada faktor pendorong lain yang memaksa kami melakukan sesuatu agak berbeza pada peringkat ini dan kami masih melihatnya sebagai pelaburan cukup baik kerana rasional dan objektif pelaburan asal kami dalam EWI masih kekal utuh," katanya.


Sementara itu tambah beliau, Paramount terus mendapat manfaat daripada pendedahan EWI kepada pasaran antarabangsa, yang menyediakan potensi perspektif operasi serta peluang pembelajaran di negara maju seperti Britain dan Australia


Kumpulan itu juga katanya, tidak melihat sebarang bentuk persaingan langsung dengan EWI di Malaysia, kerana kedua-dua firma tersebut menyasarkan pasaran geografi yang berbeza termasuk dari segi profil pembeli masing-masing. - DagangNews.com