KUALA LUMPUR 19 Mac - Paramount Corporation Berhad bercadang memperoleh sebidang tanah komersial pegangan bebas seluas 3.7 ekar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur daripada IOI Properties Group Berhad (IOIPG) pada harga RM257.89 juta.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan, tapak berkenaan kini merupakan tanah kosong yang terletak di kawasan pembangunan kediaman dan komersial matang dalam koridor Jalan Ampang–pusat bandar Kuala Lumpur.
Menurut Paramount, pembelian tersebut akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
“Terletak di luar Jalan Ampang dalam kawasan eksklusif U-Thant, tapak ini menikmati akses kepada pelbagai kemudahan gaya hidup, kesihatan dan pendidikan,” kata kenyataan itu.
Antara kemudahan berhampiran termasuk Suria KLCC, Taman KLCC, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Kelab Golf Diraja Selangor, selain institusi perubatan seperti Prince Court Medical Centre, Gleneagles Hospital Kuala Lumpur dan Beverley Wilshire Medical Centre.
Sekolah antarabangsa berdekatan pula merangkumi Sayfol International School dan International School of Kuala Lumpur.
Paramount berkata, kawasan tersebut dijangka menarik minat pembeli tempatan dan asing susulan kemudahan lengkap serta profil antarabangsa yang dimilikinya.
Syarikat itu merancang membangunkan tanah berkenaan kepada dua blok apartmen servis mewah dengan memanfaatkan kelulusan perintah pembangunan yang telah diperoleh oleh penjual.
“Ini memberikan kelebihan masa ke pasaran yang signifikan kepada Paramount, membolehkan perancangan pembangunan dilaksanakan dengan lebih efisien dengan sasaran pelancaran menjelang akhir 2026 dan tempoh siap dianggarkan enam tahun dari tarikh pelancaran.
“Cadangan pembangunan ini dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM1.1 bilion,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew berkata, pengambilalihan itu mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan di kawasan Jalan Ampang selepas kejayaan projek terdahulu seperti The Ashwood dan The Atrium yang telah habis dijual.
“Lokasi yang berhampiran membolehkan kami memanfaatkan pengalaman serta penerimaan pasaran yang kukuh terhadap pembangunan sebelum ini untuk menawarkan projek kediaman yang strategik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, pelupusan tanah tersebut selaras dengan strategi kumpulan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan bandar bersepadu.
Menurut beliau, IOIPG akan terus memperkukuh sinergi tiga segmen perniagaan teras dengan meningkatkan komponen nilai tambah bagi menyokong komuniti yang semakin berkembang, khususnya di Lembah Klang.
“Penjanaan nilai daripada tanah belum dibangunkan adalah sebahagian daripada pelan transformasi strategik kumpulan untuk mengimbangi portfolio hasil, dan hasil pelupusan ini akan memperkukuh keupayaan peruntukan modal,” katanya. - DagangNews.com








