KUALA LUMPUR 30 Mac – Paragon Globe Berhad (PGB) memeterai kerjasama strategik dengan GSP Automotive Malaysia Sdn. Bhd, anak syarikat kepada GSP Automotive Group yang tersenarai di Shanghai.
Kerjasama ini bertujuan membangunkan sebuah kluster industri automotif khusus yang dinamakan AutoPark di Iskandar Puteri, Johor yang bakal menjadi hab rantaian bekalan automotif yang lengkap dengan kemudahan R&D, pengeluaran dan logistik.
PGB memperuntukkan kira-kira 47 ekar daripada tanahnya seluas 109 ekar di Iskandar Puteri untuk projek ini, satu transformasi syarikat daripada pemaju hartanah tradisional kepada integrator ekosistem industri.
Sebagai penyewa utama (anchor tenant), GSP akan menggunakan rangkaian globalnya untuk membawa pengeluar komponen, pembekal, dan rakan logistik antarabangsa ke dalam AutoPark, sekaligus meningkatkan efisiensi rantaian bekalan.
PGB akan membangunkan dan menyewakan dua unit kilang kepada GSP, yang direka untuk memenuhi standard GreenRE bagi memastikan pembangunan mesra alam dan sejajar dengan standard global.
Selain pembangunan fizikal, PGB juga akan memudahkan proses kelulusan dan menyediakan akses kepada pembiayaan projek melalui United Overseas Bank (Malaysia) Bhd, bagi menyokong operasi dan pengembangan GSP.
Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Sri Edwin Tan Pei Seng berkata projek ini adalah permulaan kepada evolusi strategik syarikat dan membuka peluang generasi baharu untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai hab pembuatan maju di rantau ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GSP Automotive Group, Richard Zhou berkata projek AutoPark akan menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan, mewujudkan pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan bakat dalam industri automotif di Johor.
“GSP akan terus melabur di Malaysia dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan tempatan bagi membina pangkalan pengeluaran moden yang memberi sumbangan bermakna kepada ekonomi serantau,” katanya.
AutoPark turut memperkukuhkan kedudukan PGB sebagai pemaju pilihan bagi syarikat multinasional yang mencari ruang industri lestari di Johor, membina kepercayaan dan menarik pelaburan asing ke negara ini.
Projek ini juga membina reputasi PGB berdasarkan kejayaan sebelumnya dalam menarik pelanggan antarabangsa ke kawasan industri mereka, termasuk Bridge Data Centres, ACE Battery, Hunter Amenities dan Shimano Components.
Dengan AutoPark, PGB dan GSP dijangka menyumbang kepada pembangunan industri automotif Malaysia secara menyeluruh, memacu pelaburan, pekerjaan, dan inovasi teknologi di Johor, sekaligus mewujudkan ekosistem industri yang berdaya saing di peringkat serantau. - DagangNews.com








