IPOH 28 Nov - Iklan di media sosial terutamanya TikTok dikesan sebagai platform yang kerap membuatkan mereka yang ingin mengerjakan umrah terpedaya kerana tertipu dengan tawaran pakej harga murah.
Taktik paling kerap dilakukan adalah menawarkan pakej menunaikan umrah dengan kos antara RM3,000 hingga RM3,900 sedangkan kos sebenar adalah lebih tinggi.
Ramai bakal jemaah terpedaya kerana percaya pada pempengaruh di laman media sosial yang mempromosikan iklan pakej umrah tidak berlesen.
Pengerusi Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (PUHAZ), Abdul Jabbar Abdul Mohammed Kahar, pihaknya giat menjalankan kempen kesedaran bagi mengelakkan bakal jemaah menjadi mangsa penipuan.

Tegasnya, industri umrah kini berdepan peningkatan kes penipuan pakej membabitkan kerugian ribuan ringgit dan ratusan jemaah terkandas di lapangan terbang.
“Bakal jemaah perlu waspada pada tanda-tanda penipuan umrah yang wajib diselidik sebelum membuat sebarang bayaran.
“Antara yang perlu diberi perhatian adalah memastikan agensi umrah berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menyediakan tiket penerbangan pergi dan balik serta visa yang sah sama ada untuk umrah atau pelancongan mengikut ketetapan semasa.
“Jemaah juga perlu memastikan jenis hotel, lokasi dan kategori penginapan dinyatakan dengan jelas, selain makanan dan minuman yang dipersetujui dalam kontrak.
“Seterusnya, jemaah perlu meneliti jadual perjalanan lengkap, memastikan insurans perjalanan disediakan serta memeriksa bahawa semua dokumen biometrik adalah sah dan diselesaikan di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa penipuan juga berlaku apabila jemaah mengikut individu atau syarikat tidak berlesen yang menggunakan visa pelancong untuk memasuki Arab Saudi.
Akibatnya, ada jemaah yang tidak dapat berlepas, gagal memasuki Mekah atau terkandas di lapangan terbang.
Tambah beliau, terdapat 45 syarikat berdaftar di bawah PUHAZ yang mempunyai muassasah serta pajakan hotel, sekali gus membolehkan mereka menawarkan harga kompetitif dan mengurus jemaah secara lebih sistematik.
“Banyak kes jemaah terkandas berlaku apabila peserta membuat tempahan hotel sendiri melalui aplikasi seperti Agoda atau Booking.com yang tidak mampu menampung jumlah jemaah dalam kumpulan besar.
“Dalam masa sama, kerajaan Arab Saudi kini memperketatkan peraturan dengan mewajibkan semua urusan dari A hingga Z termasuk tiket, visa, hotel dan pengangkutan yang dilakukan melalui sistem rasmi negara itu.
“Semak, sahkan, dan pastikan agensi berdaftar. Ibadah umrah bukan sekadar perjalanan, tetapi satu amanah,” katanya. - DagangNews.com








