Pakar Caltech: AI bukan pengguna tenaga, tetapi pemacu inovasi tenaga bersih | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pakar Caltech: AI bukan pengguna tenaga, tetapi pemacu inovasi tenaga bersih

Profesor Bren Anima Anandkumar
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 5 Nov - Kecerdasan buatan (AI) dilihat berpotensi besar menjadi pemangkin kepada revolusi tenaga global dengan keupayaan membantu pembangunan tenaga bersih yang memperkukuh kecekapan sistem tenaga sedia ada.

 

Penyelidik Institut Teknologi California (Caltech), Amerika Syarikat, Profesor Bren Anima Anandkumar berkata, AI bukan sekadar pengguna tenaga utama, sebaliknya mampu mempercepatkan inovasi tenaga baharu yang lebih mampan dan berkesan.

 

“Peralihan tenaga bukan hanya mengenai usaha menggantikan sumber lama, tetapi penambahan tenaga baharu,” katanya semasa sesi temu bual secara dalam talian bersama DagangNews sempena Persidangan dan Pameran Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) di Abu Dhabi, semalam.

 

Beliau menjelaskan, teknologi AI kini digunakan dalam penyelidikan tenaga nuklear gabungan. Ini membolehkan simulasi tingkah laku plasma dilakukan sejuta kali lebih pantas berbanding kaedah konvensional.

 

Pendekatan itu membantu saintis meramal dan menyesuaikan rekaan reaktor bagi mengatasi gangguan, sekali gus membuka jalan ke arah menjadikan tenaga gabungan sebagai sumber tenaga bersih masa depan.

 

Anandkumar turut menegaskan AI memainkan peranan penting dalam usaha memodenkan grid tenaga global dengan meningkatkan keupayaan ramalan terhadap pengeluaran tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin.

 

“AI kini menjadi pengubah permainan dalam memastikan grid tenaga lebih stabil dan cekap berdasarkan kepada ramalan yang lebih tepat. Bekalan tenaga boleh diurus dengan lebih seimbang mengikut keperluan,” katanya.

 

Selain itu, beliau yang juga profesor dalam bidang Sains Komputer dan Matematik menjelaskan AI berpotensi mengoptimumkan penyimpanan dan agihan tenaga melalui penempatan pusat data berhampiran sumber tenaga bagi mengurangkan kehilangan tenaga serta menurunkan kos penghantaran.

 

Katanya, penyelidikan masa kini memberi tumpuan kepada AI untuk dunia fizikal menggunakan model kecerdasan buatan bagi memahami fenomena semula jadi.

 

“AI membantu kita memahami dan memperbaiki proses semula jadi dengan lebih mendalam, daripada reka bentuk bahan dan semikonduktor baharu hingga ramalan cuaca ekstrem, dan kesannya amat luas,” jelasnya.

 

Beliau yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang ini berkata, aplikasi AI dalam bidang tenaga memberi kesan langsung terhadap kecekapan, ketahanan sistem dan perlindungan alam sekitar.

 

Pada masa sama, beliau mengingatkan penggunaan AI dalam sektor tenaga perlu dilakukan secara telus, bertanggungjawab dan seimbang.

 

“AI dan tenaga saling bergantung antara satu sama lain. Tanpa tenaga, AI tidak akan berfungsi. Teknologi AI membolehkan sistem tenaga berupaya menjadi lebih pintar serta menjamin kelestariannya,” katanya.

 

Beliau turut berkongsi kejayaan pasukannya yang menggunakan AI bagi pemodelan reaktor nuklear gabungan dengan keupayaan simulasi lebih sejuta kali ganda untuk mereka bentuk reaktor yang lebih selamat dan efisien.

 

Sebagai pakar penyelidik AI untuk sains fizikal dan teknologi tenaga, Anandkumar menyatakan pandangannya di ADIPEC yang mencerminkan keyakinan komuniti global terhadap gabungan AI dan inovasi tenaga sebagai pemacu utama ke arah masa depan yang lebih hijau, selamat dan mampan. - DagangNews.com