PAC tegaskan kos projek LCS tidak boleh lebih RM11.22 bilion, tiada lagi dana tambahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PAC tegaskan kos projek LCS tidak boleh lebih RM11.22 bilion, tiada lagi dana tambahan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 JulaiJawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan kos projek kapal tempur pesisir (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak boleh melebihi siling RM11.22 bilion. 

 

Justeru Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kerajaan tidak seharusnya menyalurkan sebarang dana tambahan bagi membiayai kerja-kerja pembaikan semula atau penggantian komponen lama.

 

Ketetapan tersebut jelas beliau dibuat bagi memastikan projek pertahanan negara berkenaan kekal terkawal dari segi kos dan pelaksanaannya, serta mengesyorkan kawalan perbelanjaan diperketatkan.

 

"PAC menyarankan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan mengawal perbelanjaan agar projek yang berdepan pelbagai kelewatan itu tidak akan melangkaui kos yang sudah diluluskan," tambahnya.

 

Mas Ermieyati berkata, jumlah keseluruhan kontrak kekal pada RM11.22 bilion dan sebarang kerja pembaikan semula atau penggantian komponen tidak sepatutnya melibatkan dana tambahan kerajaan.

 

Menurutnya, kerajaan kini menggunakan sistem pembayaran berdasarkan kemajuan fizikal kerja yang disahkan, sebagai menggantikan kaedah lama mengikut pencapaian projek digunakan sebelum ini.

 

LCS_DagangNews2026

 

Ujarnya, pendekatan baharu itu bertujuan mengurangkan berlaku risiko lebihan bayaran serta turut memastikan setiap pembayaran dilaksanakan selaras dengan tahap kemajuan sebenar projek berkenaan.

 

"Ketika ini PAC dimaklumkan kemajuan fizikal keseluruhan projek LCS sudah mencapai 75.73% setakat Disember 2025, manakala kapal pertama, LCS-1, mencatatkan kemajuan 82.90%," kata Mas Ermieyati.

 

LCS-1 telah menjalani ujian pelayaran pertama pada 28 Januari 2026 dengan mencapai kelajuan tujuh knot, namun penyerahan ditunda kepada Disember 2026, empat bulan lebih lewat daripada jadual asal.

 

Beliau berkata, LCS-2 pula kini dijangka diserahkan pada Ogos 2027, manakala jadual penyerahan LCS-3 hingga LCS-5 kekal seperti dirancang dengan kapal terakhir dijangka siap pada April 2029.

 

Kelewatan projek tersebut jelas Mas Ermieyati, berpunca daripada proses audit teknikal ketat yang dijalankan oleh Naval Group dari Perancis apabila memerlukan hampir 4,000 item dikerjakan semula.

 

"Sebanyak 170 sistem utama masih perlu menjalani ujian, manakala beberapa pengeluar peralatan asal (OEM) dari Eropah sudah muflis selepas wabak Covid-19, dan pembekal baharu perlu dicari," katanya.

 

Sehubungan itu, PAC mengesyorkan kedua-dua kementerian tersebut mengemukakan laporan kemajuan bertulis kepada jawatankuasa berkenaan setiap tiga bulan. - DagangNews.com