A1 AK Koh rancang bina pejabat serantau baharu di Puchong menerusi pembelian tanah RM16.73 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

A1 AK Koh rancang bina pejabat serantau baharu di Puchong menerusi pembelian tanah RM16.73 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai – A1 AK Koh Group Bhd merancang untuk memperoleh sebidang tanah komersial di Puchong Jaya, Selangor bernilai RM16.73 juta bagi membangunkan pejabat jualan dan pemasaran serantau yang baharu.

 

Syarikat itu berkata, pembelian tanah berstatus pajakan 99 tahun seluas 4,089.85 meter persegi itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, AK Koh Enterprise Sdn Bhd daripada Qualitypack Properties Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai melalui gabungan pinjaman bank dan dana dalaman syarikat, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

 

“Transaksi tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026 sekiranya semua syarat yang ditetapkan dipenuhi.

 

“Tanah tersebut mempunyai nilai pasaran RM16.5 juta berdasarkan penilaian bebas bertarikh 9 April 2026, manakala harga yang dipersetujui sebanyak RM16.73 juta adalah lebih tinggi sebanyak RM228,740 atau 1.39%.

 

“Lembaga pengarah syarikat berpandangan premium tersebut adalah munasabah memandangkan lokasi tanah yang strategik serta kesukaran mendapatkan tapak komersial yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan pengembangan operasi syarikat pada masa hadapan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Di atas tanah itu, A1 AK Koh merancang membina sebuah bangunan komersial empat tingkat dengan keluasan lantai dianggarkan sekitar 45,260 kaki persegi, membabitkan kos pembangunan indikatif sebanyak RM11.03 juta.

 

Sokong Pengembangan Operasi A1 AK Koh

Syarikat menjangka pelan pembangunan menyeluruh akan dimuktamadkan pada suku pertama 2027 sebelum permohonan bagi mendapatkan semua kelulusan berkaitan dikemukakan kepada pihak berkuasa.

 

Kerja-kerja persediaan tapak serta proses mendapatkan kelulusan kawal selia dijangka mengambil masa antara lapan hingga 12 bulan sebelum pembinaan dapat dimulakan.

 

Bangunan baharu itu bakal menggantikan pejabat yang kini disewa syarikat di Taman Perindustrian OUG, Kuala Lumpur, yang mempunyai keluasan binaan kira-kira 4,938 kaki persegi dengan kadar sewaan bulanan sebanyak RM10,000.

 

Menurut syarikat, pertumbuhan hasil kira-kira enam peratus bagi tempoh tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 hingga 30 Jun 2025 meningkatkan keperluan terhadap ruang operasi yang lebih besar bagi menyokong aktiviti jualan, pemasaran serta pengurusan pelanggan yang semakin berkembang di wilayah tengah.

 

Selain memenuhi keperluan operasi semasa, kemudahan baharu itu turut dijangka menjadi pemangkin kepada strategi pertumbuhan A1 AK Koh untuk meneroka segmen pasaran baharu termasuk halal dan HORECA (hotel, restoran dan katering), sekali gus mengukuhkan kehadiran syarikat di pasaran Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com