KUALA LUMPUR 8 Julai – AirBorneo Airways memberi jaminan tambang penerbangannya tidak akan dinaikkan ketika musim puncak perjalanan, termasuk musim perayaan, sebagai usaha menstabilkan harga tiket antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Pengerusi AirBorneo Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu mahu menstabilkan harga tiket menerusi model tambang tetap.
"Sebelum ini, kita pernah melihat harga tiket mencecah sehingga RM1,000 pada waktu puncak. Namun bagi AirBorneo, kita menawarkan harga tetap," katanya dalam sesi meja bulat bersama media hari ini.
Tambahnya, harga tambang tidak akan berubah dan membebankan penumpang walaupun ketika musim perayaan Hari Raya atau Hari Gawai termasuk ketika membeli tiket pada saat akhir.
Harga RM375 Sangat Berpatutan, Termasuk Semua Caj
Bermula 7 Julai 2026, AirBorneo mula menjual tiket bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur dengan menawarkan tambang sehala kelas ekonomi pada harga tetap RM375 termasuk semua caj.
Lebih menarik, beliau berkata sudah ada syarikat penerbangan lain yang turut menawarkan harga hampir sama selepas AirBorneo mengumumkan kadar tambangnya itu dan situasi tersebut menunjukkan hasrat AirBorneo untuk membantu menstabilkan harga tercapai.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata tambang promosi RM375 bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur diperkenalkan bukan sekadar untuk menawarkan harga kompetitif, tetapi bertujuan memberi lebih nilai kepada penumpang menerusi konsep tambang termasuk semua caj (all-in).
Beliau berkata, harga berkenaan ditetapkan selepas AirBorneo membuat perbandingan dengan purata tambang terendah yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan lain bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching dalam tempoh enam bulan lalu serta rekod harga tahun sebelumnya.
Menurutnya, tambang RM375 itu berada dalam julat harga pasaran, namun kelebihannya adalah ia sudah merangkumi cukai lapangan terbang, bagasi daftar masuk 23 kilogram, bagasi kabin 10 kilogram, makanan serta pemilihan tempat duduk.
“Sesetengah syarikat penerbangan mungkin menawarkan harga yang kelihatan lebih rendah, tetapi ia biasanya hanya tambang asas dan tidak termasuk caj tambahan seperti bagasi, makanan atau pemilihan tempat duduk.
“Dengan AirBorneo, harga yang dipaparkan ialah jumlah sebenar yang perlu dibayar penumpang,” katanya.
Beliau berkata, sambutan terhadap jualan tiket laluan Kuching-Kuala Lumpur sejak dibuka juga memberangsangkan dan AirBorneo akan terus memantau corak tempahan, permintaan penumpang serta tindak balas pesaing terhadap struktur tambang baharu itu.
Komuniti Pedalaman Tetap Jadi Keutamaan
Dalam perkembangan berkaitan, AirBorneo turut memberi tumpuan memperkukuh operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang menjadi penghubung penting kepada komuniti pedalaman Sarawak, Sabah dan Labuan.
Syarikat itu kini mengendalikan 14 pesawat turboprop untuk rangkaian RAS terdiri daripada lapan pesawat ATR 72-500 dan enam pesawat Twin Otter, selain melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan termasuk mempercepat bekalan alat ganti serta proses penyelenggaraan.
AirBorneo juga merancang menerima lapan pesawat ATR 72-600 baharu antara 2027 hingga 2029 bagi menggantikan sebahagian pesawat sedia ada, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan operasi penerbangan luar bandar.
Secara keseluruhannya, AirBorneo menyasarkan untuk memainkan peranan lebih besar dalam memastikan hubungan udara antara Sarawak dan destinasi lain lebih stabil, dengan tambang yang lebih mudah dijangka serta perkhidmatan yang lebih dipercayai kepada penumpang. - DagangNews.com








