KUALA LUMPUR 6 Nov – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tiga kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap konsesi pengurusan armada kenderaan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan.
Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, ketiga-tiga kementerian tersebut antara yang memiliki jumlah armada terbesar di bawah pengurusan konsesi berkenaan.
“PAC juga akan memanggil Spanco Sdn Bhd, syarikat yang terlibat dalam konsesi itu,” katanya pada sidang media di bilik media Parlimen di sini hari ini.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) terkini menyorot kelemahan pengurusan armada kenderaan kerajaan Persekutuan, termasuk kelewatan penghantaran dan kegagalan mengenakan penalti terhadap pelanggaran kontrak.
Antara isu dibangkitkan ialah penalti berjumlah RM54.51 juta yang tidak dikuatkuasakan terhadap syarikat konsesi, walaupun sebanyak 6,028 kenderaan dihantar lewat — ada yang mencecah kelewatan sehingga 508 hari — meskipun kontrak dengan jelas memperuntukkan hukuman sedemikian.
Laporan itu tidak menamakan syarikat konsesi terbabit, namun Kementerian Kewangan sebelum ini menjelaskan dalam jawapan Parlimen bahawa Spanco kini menguruskan armada kenderaan kerajaan.
Sementara itu, berhubung isu sistem e-Jamin, Mas Ermieyati berkata PAC akan meneruskan prosiding dengan memanggil Dapat Vista (M) Sdn Bhd, kontraktor yang membangunkan sistem e-Jamin, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).
“Semua saksi ini akan dipanggil bagi mendapatkan maklumat lengkap untuk memastikan laporan PAC menyeluruh dan mendalam,” katanya.
Kedua-dua isu tersebut dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 3/2025. - DagangNews.com








