OSK catat untung bersih RM125 juta pada 1QFY25 dipacu asas kukuh pelbagai segmen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OSK catat untung bersih RM125 juta pada 1QFY25 dipacu asas kukuh pelbagai segmen

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mei — OSK Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM124.89 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, sedikit peningkatan berbanding RM123.18 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.


Kumpulan tersebut berkata, keputusan kewangan berkenaan menyaksikan permulaan baik dipacu asas kukuh yang merentas beberapa segmen perniagaan utama di sebalik berlaku kelembapan dalam aktiviti untuk beberapa sektor tertentu.


Tambahnya, situasi yang perlahan itu disebabkan cuti panjang bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan apabila secara kebetulan kedua-duanya pula berlangsung dalam tempoh tiga bulan pertama tahun tersebut.


"Kumpulan OSK namun melaporkan jumlah hasil sebanyak RM400.6 juta bagi 1QFY25, peningkatan kira-kira sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lepas yang didorong prestasi teguh segmen utama," katanya dalam satu kenyataan.


Antaranya segmen perkhidmatan kewangan yang memberi prestasi kukuh dengan peningkatan hasil sebanyak 27 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM67.9 juta dan bertambah 18 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM30.9 juta.


Perkembangan itu katanya, disokong oleh pengembangan portfolio pinjaman di Malaysia dan Australia apabila setakat 31 Mac 2025, pinjaman terkumpul berjumlah RM2.4 bilion, meningkat daripada RM1.7 bilion pada suku sama pada 2024.


Segmen pegangan pelaburan pula melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM73.7 juta pada 1QFY25, meningkat daripada RM68.5 juta pada 1QFY24, dipacu sumbangan keuntungan tinggi daripada RHB Group yang menyaksikan prestasi baik.


Sementara segmen industri juga mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 41 peratus y-o-y kepada RM120.8 juta tetapi keuntungan sebelum cukai merosot kepada RM5.7 juta, disebabkan kos baik pulih dan operasi dua kilang kabel baharu di Johor.


Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif OSK, Tan Sri Ong Leong Huat berkata, kumpulan syarikat tersebut berasa gembira dengan permulaan tahun kewangan yang lebih kukuh dan asas teguh merentas kebanyakan segmen teras.


"Walaupun persekitaran operasi adalah kekal mencabar, model perniagaan kami yang pelbagai telah membolehkan OSK mengekalkan pendapatan dan mengukuhkan asas kami merentas segmen utama," kata beliau. - DagangNews.com