KUALA LUMPUR 19 Nov – Orkim Bhd, syarikat perkapalan minyak dan gas milik Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga 92 sen sesaham.
IPO itu disasarkan dapat mengumpul RM92 juta bagi membiayai pengembangan armada kapal tangki syarikat.
Permohonan bagi IPO akan ditutup pada 26 November, dengan penyenaraian dijadualkan pada 9 Disember.
IPO itu melibatkan penerbitan 100 juta saham baharu serta tawaran jualan 300 juta saham sedia ada milik Tetap Kuasa Sdn Bhd, entiti pelaburan milik Ekuinas.
Selepas penyenaraian, Ekuinas dijangka mengekalkan kepentingan 60% dalam syarikat.
Dana IPO akan digunakan terutamanya untuk pembelian kapal baharu, termasuk kapal tangki produk petroleum dan kimia dengan kapasiti muatan 9,000 tan metrik (deadweight tonnes -DWT) sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan dan pembaharuan armada.
Daripada jumlah itu, 87% atau RM80 juta akan digunakan untuk pengembangan armada, sementara baki dana akan menampung modal kerja (1.2%) dan kos berkaitan penyenaraian (11.8%).
Orkim dan kumpulannya terlibat dalam pemilikan, penyewaan dan operasi kapal, serta pengurusan harta pelayaran, kontrak pengangkutan dan perniagaan pengangkutan lain.
Kumpulan ini mengendalikan sebanyak 18 kapal dengan jumlah kapasiti muatan sebanyak 239,186 DWT.
Ini termasuk 14 kapal tangki produk petroleum bersih dengan kapasiti gabungan 134,684 DWT, dua kapal tangki CPP julat sederhana dengan kapasiti gabungan 98,004 DWT dan dua kapal tangki gas petroleum cecair dengan kapasiti gabungan 6,498 DWT.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Orkim, Kapten Cheah Sin Bi berkata, syarikat komited untuk mencapai semua sasaran dan membuktikan bahawa syarikat tempatan mampu bersaing serta memimpin di peringkat global.
“Orkim ditubuhkan pada 2007, operasinya bermula dalam bidang perantara kapal (shipbroking) dan perkhidmatan pengurusan bagi kapal milik pihak ketiga.
“Permulaan Orkim adalah sebuah syarikat kecil yang berimpian besar. Tidak lama selepas itu, kami membeli kapal tangki pertama, Orkim Power, yang menjadi pemacu utama kepada perjalanan dan matlamat kami seterusnya,” katanya. - DagangNews.com








