Oriental Holdings beli Northam Georgetown, tiga hotel berharga RM411 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oriental Holdings beli Northam Georgetown, tiga hotel berharga RM411 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov – Oriental Holdings Bhd merancang untuk mengambil alih 100% kepentingan dalam Northam Georgetown Sdn Bhd serta tiga hartanah dengan nilai keseluruhan RM411 juta, sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan itu memperluas dan mempelbagaikan portfolio hospitaliti.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Oriental Holdings berkata, tiga hartanah berkenaan ialah Bayview Hotel Georgetown dan Wisma Boon Siew di Pulau Pinang serta Bayview Hotel Langkawi di Kedah.

 

Menurut syarikat itu, pengambilalihan berkenaan sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan segmen hospitaliti melalui pelaburan dalam aset yang mempunyai potensi baik, selain memperkukuh aliran pendapatan berulang daripada hotel dan resort miliknya.

 

 

 

 

 

 

“Cadangan pengambilalihan hotel-hotel ini juga menyokong usaha penstrukturan semula operasi kumpulan untuk beralih kepada model pengurusan pihak ketiga bagi hotel dan resort,” kata Oriental Holdings.

 

Syarikat itu telah menandatangani perjanjian langganan saham bersyarat dengan Boon Siew Sdn Bhd (BSSB) dan Northam Georgetown melibatkan 153.1 juta saham biasa dalam Northam Georgetown pada harga RM153.1 juta.

 

Selepas pelaksanaan perjanjian itu, Oriental Holdings akan menjadi pemilik sah dan benefisial bagi 96.84% kepentingan ekuiti dalam Northam Georgetown.

 

Syarikat itu berkata, Oriental Holdings dan BSSB kemudiannya akan memeterai perjanjian jual beli saham, seperti yang dilampirkan bersama perjanjian langganan saham, bagi pengambilalihan baki 3.16% kepentingan ekuiti dalam Northam Georgetown yang terdiri daripada lima juta saham biasa dengan harga RM13.9 juta secara tunai.

 

Northam Georgetown memiliki Bayview Beach Resort Penang yang terletak di Batu Ferringhi, sebuah hotel bertaraf empat bintang dengan 365 bilik penginapan.

 

Bagi pembelian hartanah lain, Oriental Holdings berkata, anak syarikat milik penuhnya, Farquhar Properties Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan BSSB untuk memperoleh Bayview Hotel Georgetown dan Wisma Boon Siew di George Town pada harga RM153 juta secara tunai.

 

Selain itu, anak syarikat milik penuh Oriental Holdings yang lain, Northam Langkawi Sdn Bhd turut menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Boon Siew Development Sdn Bhd bagi pengambilalihan Bayview Hotel Langkawi bertaraf empat bintang di Langkawi, Kedah, dengan harga RM91 juta.

 

Kumpulan Oriental Holdings mempunyai kepentingan dalam pelbagai segmen perniagaan teras termasuk automotif dan produk berkaitan, produk plastik, hotel dan resort, perladangan, pegangan pelaburan, hartanah pelaburan, perdagangan bahan binaan serta penjagaan kesihatan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, segmen hotel dan resort menyumbang kira-kira 6% kepada jumlah hasil keseluruhan Kumpulan.

 

Ketika ini, Oriental Holdings mempunyai 7 unit hospitaliti yang beroperasi di bawah portfolionya, iaitu Bayview Hotel Melaka (Malaysia), 30 Bencoolen (Singapura), Bayview Geographe Resort (Australia), The Sydney Boulevard Hotel (Australia), Wairakei Resort Taupo (New Zealand), Somerset Park Suanplu (Thailand) dan Thistle Holborn The Kingsley Hotel (United Kingdom).

 

 

 

 

 

 

“Bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan, penyerahan cadangan ini dijangka dibuat dalam tempoh dua bulan dari tarikh pengumuman ini.

 

“Dengan mengambil kira tiada sebarang halangan yang tidak dijangka dan selepas semua kelulusan diperoleh, cadangan ini dijangka disiapkan pada suku ketiga tahun 2026,” kata Oriental Holdings. - DagangNews.com