KUALA LUMPUR 4 April — Petronas Gas Berhad (PGB) sentiasa mematuhi pelbagai langkah keselamatan yang ketat selaras dengan piawaian antarabangsa dalam semua peringkat operasi lapangannya.
Syarikat tersebut juga menzahirkan komitmen terhadap isu keselamatan komuniti setempat, alam sekitar dan kebolehpercayaan ke atas perkhidmatannya.
Pasukan PGB juga katanya, telah mengaktifkan sistem keselamatan kawalan jauh saluran paip untuk mengawal kebakaran dan akhirnya berjaya memadamkannya semasa kejadian di Putra Heights, Selangor pada 1 April 2025.
"Kesemua langkah yang diperlukan itu telah diambil untuk memastikan kawasan kejadian berkenaan selamat, dan PGB secara proaktif telah melaksanakan usaha kontingensi bagi meminimumkan gangguan dalam bekalan gas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ia turut membuat penyelarasan dengan agensi kerajaan serta pihak berkuasa yang berkaitan bagi memulihkan dan mengekalkan bekalan secepat mungkin dengan cara selamat serta komited untuk memastikan akses tenaga tidak terganggu.
PGB juga mengesahkan bahawa saluran yang terjejas di Putra Heights itu ialah talian paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), yang direka dan dibina mengikut piawaian antarabangsa dengan penekanan kukuh terhadap keselamatan awam.
Untuk beroperasi, sistem saluran paip PGB menjalani kawalan dan jaminan kualiti yang teguh serta ketat selain mendapat kelulusan Permit Pengendalian (PTO) dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, menurut kenyataan itu.
"Di samping itu, program pengurusan integriti aset kami memastikan operasi perjalanan serta keselamatan berterusan aset syarikat, disokong lapan pejabat serantau seluruh Semenanjung Malaysia bagi melaksanakan aktiviti pemeriksaan dan penyelenggaraan rapi," katanya.
Langkah berkenaan merangkumi, antara lain, program pemeriksaan saluran paip secara berkala dengan menggunakan teknologi pemeriksaan saluran paip. Secara luaran, PGB telah memasang Sistem Perlindungan Katodik yang disokong oleh pemantauan pergerakan tanah dan cerun.
Program-program ini dijalankan oleh petugas PGB yang berwibawa dan berkelayakan.
Selanjutnya, operasi saluran paip PGB dipantau serta dikawal 24/7 dengan teknologi canggih seperti Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA), Sistem Pengesanan Kebocoran Saluran Paip, kamera litar tertutup (CCTV) dan Sistem Akustik Teragih di Pusat Kawalan Gas Petronas (PGCC).
PGB juga katanya, kerap menjalankan pengawasan tanah dan udara melalui dron oleh pengendali yang berkelayakan bagi membolehkan tindak balas cepat terhadap sebarang kelainan.
"Jika terjadi sebarang keabnormalan, kami dapat menentukan lokasi tepat melalui SCADA dan Sistem Maklumat Geografi Masa Nyata Petronas, yang membolehkan kami memberi amaran kepada pasukan tindakan cepat terdekat dari pejabat serantau masing-masing," kata PGB. - DagangNews.com








