KUALA LUMPUR 6 Mac — Operasi PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) di Pengerang, Johor berisiko terjejas akibat kenaikan kos bahan mentah susulan konflik di Timur Tengah, kata CGS International.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan turut meramalkan projek Kompleks Petrokimia Pengerang (PPC) tersebut masih lemah serta kemungkinan mencatat kerugian bagi tahun kewangan 2026 (FY26).
Menurutnya, penutupan Selat Hormuz dan serangan terhadap fasiliti minyak dan gas asli cecair (LNG) di rantau Asia Barat hampir seminggu sudah melonjakkan harga minyak penanda aras global Brent.
"Keadaan tersebut memberi tekanan besar kepada loji petrokimia berasaskan bahan mentah nafta dan menaikkan kos pengeluaran PCG di Pengerang sendiri," jelas CGSI dalam nota analisisnya hari ini.
Firma itu namun menekankan yang kumpulan ini kekal berdaya tahan kerana operasi lain, termasuk kompleks olefin dan derivatif (O&D) di Kerteh, Terengganu dan bahagian baja serta metanol (F&M).
Setakat ini tambahnya, kumpulan berkenaan memperoleh bahan mentah domestik pada harga tetap dan murah, membolehkan margin kasar dapat dikekalkan walaupun berlaku ketidaktentuan pasaran global.

CGSI berkata, sebarang kesan negatif di Pengerang namun dijangka dapat diimbangi oleh prestasi kukuh Kerteh dan F&M, dengan secara keseluruhan pendapatan teras PCG berpotensi untuk lebih kuat.
"Berdasarkan perkembangan semasa itu, kami menaikkan saranan saham kumpulan ini kepada 'tambah' daripada 'kurang' dan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM4.45 berbanding RM2.83," jelasnya.
Firma itu turut menegaskan potensi pemulihan harga produk petrokimia global selama tempoh enam bulan akan datang menjadi pemangkin utama untuk prestasi PCG bagi jangka pendek dan sederhana.
Bagaimanapun, CGSI memberi amaran risiko utama kumpulan itu termasuk pembukaan semula Selat Hormuz dan pengeluaran minyak Iran kembali normal yang mungkin menstabilkan harga Brent di pasaran.
Secara keseluruhan, PCG dilihat berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding pesaing kerana akses kepada bekalan gas domestik yang lebih murah dan konsisten sebagai bahan mentah utama selama ini.
"Kompleks di Kerteh memperoleh bekalan etana pada harga tetap jangka panjang yang rendah, manakala bahagian F&M menggunakan metana yang harga beli dipaut kepada harga jualan produk akhir," katanya.
Justeru tambah CGSI, struktur harga bahan mentah ini membantu PCG mengekalkan margin kasar dalam julat yang stabil walaupun berlaku turun naik kitaran pasaran antarabangsa. - DagangNews.com








