Operasi Halilintar uji atur gerak aset tempur ATM menggunakan pesawat Airbus A400M, C-130H | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Operasi Halilintar uji atur gerak aset tempur ATM menggunakan pesawat Airbus A400M, C-130H

Pesawat pengangkut A400M mempamerkan kehebatan dalam Operasi Halilintar.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 21 Nov – Keupayaan mobiliti udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi diuji dan dibuktikan melalui pelaksanaan ‘Tactical Air Landed Operation’ (TALO) dalam Operasi Halilintar.

 

Ia sebahagian daripada Eksesais Gerak Pantas Siri 26/2025. 

 

Latihan yang melibatkan 10 Briged (Para) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini memperlihatkan peningkatan signifikan aspek atur gerak pantas serta integrasi operasi bersama yang menjadi asas kesiapsiagaan angkatan masa kini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Dalam latihan yang berlangsung di Gong Kedak, Jerteh, Terengganu itu, beberapa aset utama 1 Rejimen Artileri Diraja (Para) dan Kompeni Bantuan (Para) berjaya diatur gerak melalui udara.

 

Pesawat
Kenderaan Vamtac dan scrambler diturunkan ke kawasan operasi menggunakan pesawat A400M.

 

Atur gerak ini sebagai satu pakej mobiliti dan sokongan tembakan bagi mengukuhkan kemampuan operation di darat.

 

Pendaratan taktikal yang dilaksanakan bukan sekadar membawa masuk anggota, tetapi turut melibatkan kenderaan serta sistem persenjataan berat.

 

Bagi pasukan Briged Para, ini satu keupayaan penting untuk memastikan operasi ofensif dapat diteruskan dengan pantas dan efektif.

 

Latihan TALO ini menyaksikan penglibatan pelbagai aset termasuk dua kenderaan pembawa meriam, dua meriam 105 LGK1 MK III daripada 1 RAD (Para), serta dua motosikal scrambler dan dua kenderaan senjata berat Vamtac daripada Kompeni Bantuan (Para).

 

Pengoperasian kesemua aset ini memperlihatkan beberapa aspek penting.

 

Pesawat

 

Pesawat
Meriam 105mm LGK1 MK III.

 

Pesawat

 

 

Antaranya keupayaan operasi bantuan tembakan di darat yang lebih dinamik melalui atur gerak meriam 105 LGK1 MK III yang mampu disiapkan dengan pantas sebaik sahaja diturunkan dari pesawat. 

 

Keupayaannya memberikan sokongan tembakan jarak sederhana dan mengekalkan tekanan ofensif ke atas sasaran tanpa perlu menunggu artileri konvensional dari darat.

 

Mobiliti tinggi dalam misi serangan pantas menggunakan kenderaan VAMTAC pula memainkan peranan sebagai platform sokongan tembakan dan mobiliti taktikal.

 

Penggunaan motosikal scrambler pula memberikan kelebihan kepada elemen peninjau untuk melaksanakan tinjauan dan kawalan kawasan selepas pendaratan.

 

Secara keseluruhan, kombinasi aset ini membentuk satu pakej keupayaan kuasa tembakan mudah alih.

 

Pesawat
Kenderaan Vamtac dibawa masuk ke dalam pesawat bagi penghantaran udara secara taktikal.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Kombinasi ini amat diperlukan dalam operasi pantas di mana unsur sokongan tembakan perlu digerak seiring dengan elemen serangan.

 

Paling penting, operasi ini membuktikan kebolehan aset-aset TUDM sebagai tulang belakang atur gerak pantas

 

Keberhasilan TALO tidak mungkin dicapai tanpa penglibatan TUDM yang mengoperasikan sebuah pesawat Airbus A400M daripada No 8 Skuadron serta dua pesawat C-130H daripada No 20 Skuadron.

 

Airbus A400M yang berupaya membawa aset lebih berat membolehkan meriam serta kenderaan artileri digerakkan dalam skala lebih besar, manakala C-130H kekal sebagai platform mobiliti taktikal serba boleh untuk operasi insertion pantas. 

 

Integrasi kedua-duanya membentuk kelebihan tersendiri iaitu gabungan kapasiti angkut tinggi dengan keupayaan pendaratan taktikal yang telah lama terbukti.

 

Pesawat
Pesawat C-130H.

 

Pesawat

 

TALO kali ini turut menguji Pelan Pantas TUDM, yang bertujuan memastikan semua aset di bawah formasi 10 Briged (Para) boleh diaturgerakkan pada bila-bila masa untuk mendepani ancaman atau operasi sebenar.

 

Kejayaan pelaksanaan ini menunjukkan bahawa TUDM kini berada pada tahap kesiapsiagaan yang mampu memenuhi keperluan mobiliti udara ATM untuk pelbagai jenis operasi.

 

Ini termasuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR), operasi insurgensi rendah, sehinggalah misi tempur jarak jauh.

 

Pesawat
Operasi Halilintar menguji kebolehan perancangan antara Briged Para dan TUDM untuk melaksanakan hantaran udara.

 

Tahap boleh operasi bersama pasukan udara dan darat yang dipamerkan menandakan arah masa depan ATM sebagai sebuah angkatan yang berdaya saing dan mampu bertindak pantas terhadap apa jua ancaman.

 

 

 

 

 

 

 

Bagi ATM, kejayaan latihan seperti ini bukan sekadar simbol kekuatan, tetapi bukti bahawa negara memiliki angkatan pertahanan yang relevan dan bersedia dalam lanskap keselamatan serantau yang semakin mencabar. - DagangNews.com