Operasi foodpanda ditutup selepas 13 tahun catat kerugian di Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Operasi foodpanda ditutup selepas 13 tahun catat kerugian di Thailand

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 April - foodpanda bakal menamatkan operasi di Thailand pada Mei 2025 selepas lebih sedekad mencatatkan kerugian, kata akhbar tempatan, The Nation memetik hantaran platform penghantaran makanan itu menerusi media sosial.


Berdasarkan makluman dalam Bahasa Thai itu, operasi syarikat berkenaan akan dihentikan pada 23 Mei 2025, dan foodpanda dilaporkan berkata, keadaan pasaran semasa Thailand tidak lagi sejajar dengan strategi jangka panjangnya.


Pemilik foodpanda, Delivery Hero SE, yang berpangkalan di Jerman, mengesahkan kepada akhbar tersebut mengenai tindakan penutupan berkenaan dengan memberikan alasan ia telah mengalami kerugian di Thailand selama 13 tahun.


Sehubungan itu, Delivery Hero selepas ini akan menumpukan sumbernya kepada pasaran rantau Asia Pasifik lain yang mampu menawarkan potensi pertumbuhan lebih besar dan pulangan tinggi, tambah The Nation.


Di Malaysia, foodpanda mempunyai lebih daripada 400 pekerja, seramai 50,000 penunggang dan 100,000 rakan kongsi, menurut maklumat menerusi laman web rasminya. 


Syarikat itu juga memiliki pusat perkhidmatan perkongsian yang menyokong 11 negara dalam 10 bahasa, dengan lebih 1,500 pekerja dalaman dan 4,000 pekerja sumber luar. - DagangNews.com