KUALA LUMPUR 16 Jun - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan proses tender terbuka dan pelaksanaan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (e-ART), sambil memberi amaran kelewatan boleh mencetuskan krisis kesesakan lebih serius apabila Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) mula beroperasi pada 1 Januari tahun depan.
Beliau berkata, e-ART merupakan penyelesaian jangka panjang paling kritikal untuk menyerap lonjakan pergerakan penumpang ke Johor Bahru sebaik sahaja RTS Link beroperasi.
Menurutnya, Johor telah melaksanakan pelbagai langkah jangka pendek dan sederhana termasuk memperluaskan kemudahan parkir dan perjalanan (Park and Ride), memperkenalkan inisiatif pengurusan trafik pintar serta menyusun semula perkhidmatan bas, teksi dan e-panggilan di JB Sentral.
Bagaimanapun, beliau menegaskan semua langkah itu hanyalah penyelesaian sementara kerana projek utama yang mampu mengagihkan aliran trafik berkaitan RTS masih belum dimulakan.
"Langkah-langkah ini perlu dilaksanakan kerana projek utama yang mampu mengurai kesesakan akibat RTS masih belum bermula.
"Terdapat satu projek yang mesti terus menjadi fokus dan dipercepatkan, iaitu projek e-ART," katanya ketika majlis pelancaran operasi Southern Shuttle Service di stesen kereta api Kulai hari ini.
Johor tuntut kepastian garis masa projek
Majlis itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Kenyataan Onn Hafiz itu dilihat meningkatkan lagi tekanan terhadap Putrajaya, susulan pertikaman lidah sebelum ini antara beliau dan Anthony berhubung isu jemputan ke program kementerian serta penglibatan kerajaan negeri dalam inisiatif pengangkutan Persekutuan.
Onn Hafiz berkata, cadangan e-ART telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri sejak 2024, namun sehingga kini tiada kerja fizikal dimulakan.
Beliau berkata, rakyat Johor masih menunggu garis masa pelaksanaan yang jelas, khususnya mengenai tarikh sebenar pembinaan akan bermula.
"Persoalannya sekarang, bilakah projek ini akan dimulakan? Rakyat Johor mahu tahu bila kita boleh turun bersama-sama melawat tapak projek ini.
"Setakat yang saya faham, Surat Setuju Terima (LOA) masih belum dikeluarkan. Walaupun kerja bermula sekali pun, projek ini dijangka mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk disiapkan," katanya.
Risiko kesesakan bertambah apabila RTS beroperasi
Beliau berkata, keperluan untuk menyegerakan projek itu semakin mendesak apabila tarikh operasi RTS Link semakin hampir.
Tanpa sistem pengangkutan awam bandar yang cekap dan berkapasiti tinggi sebagai pelengkap perkhidmatan rel rentas sempadan itu, kemasukan besar penumpang dikhuatiri menambah tekanan terhadap rangkaian jalan raya Johor Bahru yang sememangnya sesak.
Mengambil contoh projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang yang mempunyai siling kos RM16.8 bilion dan sudah memasuki fasa pembinaan, beliau berkata Johor juga wajar diberikan perhatian serta keutamaan yang sama oleh kerajaan Persekutuan.
"Kita gembira untuk Pulau Pinang kerana setiap negeri berhak menikmati infrastruktur pengangkutan awam yang berkualiti.
"Namun, kita juga berharap keperluan Johor diberikan tahap perhatian dan keutamaan yang sama," katanya.
Beliau berkata, Johor Bahru yang mempunyai kira-kira 1.8 juta penduduk hampir menyamai keseluruhan populasi Pulau Pinang, selain berfungsi sebagai antara pintu masuk antarabangsa paling sibuk di negara ini dengan jumlah pergerakan rentas sempadan yang sangat tinggi.
e-ART dilihat projek kritikal
Onn Hafiz menyifatkan e-ART bukan sekadar satu lagi projek infrastruktur, sebaliknya campur tangan Persekutuan yang mampu memberi impak langsung kepada kehidupan harian rakyat Johor.
Katanya, sistem itu dapat membantu mengurangkan kesesakan, memperkukuh hubungan antara RTS Link dengan kawasan-kawasan utama di Johor Bahru serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
"Saya percaya komitmen dan kesegeraan kerajaan Persekutuan melaksanakan projek ini akan memberi impak yang sangat besar kepada rakyat Johor, khususnya dalam mengurangkan kesesakan dan meningkatkan mobiliti harian.
"Inilah bentuk campur tangan Persekutuan yang benar-benar dapat dirasai, dihargai dan diingati rakyat.
"Jika projek ini dapat dipercepatkan, kerajaan Persekutuan memang wajar menerima penghargaan," katanya.
RTS Link merupakan sistem rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura dan dijadual memulakan operasi pada 1 Januari tahun depan.
Perkhidmatan itu direka untuk membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah dan dijangka mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta meningkatkan hubungan harian antara kedua-dua negara.
Lebih 400,000 individu menggunakan Tambak Johor setiap hari, menjadikannya antara pintu sempadan darat paling sibuk di dunia. Ketika musim puncak seperti cuti persekolahan dan hujung minggu panjang, jumlah pergerakan harian di laluan darat Johor-Singapura boleh melebihi 500,000 orang. - DagangNews.com








