LAC Med raih kontrak RM78.9 juta bekal bahan ujian makmal ke 10 hospital kerajaan di Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LAC Med raih kontrak RM78.9 juta bekal bahan ujian makmal ke 10 hospital kerajaan di Kedah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Penyedia rumusan teknologi perubatan, LAC Med Berhad memperoleh kontrak bernilai RM78.9 juta bagi membekalkan dan menghantar reagen bersama barangan berkaitan untuk ujian kimia patologi kepada 10 hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kedah.

 

Kontrak tersebut dianugerahkan menerusi Surat Anugerah (LOA) yang diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, LAC Medical Supplies Sdn Bhd daripada sebuah syarikat konsesi penjagaan kesihatan.

 

Menurut LAC Med, kontrak berkenaan melibatkan pembekalan dan penghantaran produk daripada prinsipal baharu yang dilantik oleh kumpulan itu yang memperluaskan lagi penawarannya dalam pasaran penjagaan kesihatan tempatan.

 

“Di bawah perjanjian tersebut, LAC Med bertindak sebagai wakil kepada jenama global berkenaan dan memasarkan reagen serta bahan ujian makmal di Malaysia yang membuka peluang baharu dalam segmen pasaran yang sebelum ini belum diterokai oleh kumpulan.

 

“Perjanjian itu dilaksanakan menerusi kaedah Penempatan Instrumen iaitu model yang membolehkan peralatan ditempatkan di fasiliti kesihatan manakala penggunaan reagen dan bahan berkaitan menjana pendapatan secara berterusan sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

 

Kontrak berkenaan berkuat kuasa selama empat tahun bermula 15 Jun 2026 hingga 14 Jun 2030 dan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh tersebut.

 

Dengan kontrak terbaharu itu, jumlah kontrak yang berjaya diperoleh daripada prinsipal yang sama setakat tahun ini meningkat kepada kira-kira RM105.7 juta.

 

t

 

Perkembangan itu turut meningkatkan nilai buku tempahan LAC Med kepada RM277.9 juta, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAC Med Berhad, Liew Yoon Poh berkata, kontrak berskala besar itu membuktikan keupayaan syarikat membantu prinsipal baharu menembusi pasaran penjagaan kesihatan Malaysia.

 

Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan sahaja mengukuhkan aliran pendapatan berulang kumpulan, malah memberi peluang kepada syarikat untuk membina rekod prestasi dalam pembekalan bahan guna habis perubatan.

 

"Kontrak ini membolehkan kami menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan pelanggan serta menawarkan penyelesaian tambahan bagi memenuhi keperluan mereka yang sentiasa berkembang.

 

"Sebagai antara peneraju dalam pasaran penyelesaian perubatan, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh lebih banyak kontrak baharu bagi mengembangkan buku pesanan dan memacu pertumbuhan kumpulan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sehingga kini, LAC Med mempunyai liputan di 58% hospital di Malaysia dengan lebih 2,600 unit peralatan perubatan dipasang di seluruh negara, selain menyokong lebih 300 pelanggan aktif dalam sektor penjagaan kesihatan.

 

Kumpulan itu mewakili 11 jenama antarabangsa dan menawarkan lebih 1,250 unit simpanan stok (SKU) merangkumi peranti perubatan, bahan guna habis serta penyelesaian teknologi maklumat (IT), yang digunakan oleh institusi kesihatan awam dan swasta, hospital universiti, pejabat kesihatan daerah, pembekal peranti perubatan serta syarikat konsesi di seluruh negara.  - DagangNews.com