KUALA LUMPUR 8 Mei — Oasis Home Holding Berhad berhasrat menawarkan pengagihan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada untung bersih setiap tahun sebagai pembayaran dividen mereka, kata TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut mengunjurkan hasil dividen hadapan sebanyak 2.4 peratus, 2.9 peratus dan 3.6 peratus masing-masing untuk FY25, FY26 dan FY27, berdasarkan nisbah dividen sebanyak 30 peratus daripada untung bersih syarikat itu.
Katanya, Oasis Home dijangka mampu melaksanakannya kerana ia merupakan syarikat pemasaran dan penjualan produk gaya hidup pengguna dalam pelbagai saluran serta bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada bulan ini.
"Pada FY24, keuntungan bersihnya naik 64 peratus kepada RM8.1 juta, dipacu jualan lebih tinggi daripada saluran perdagangan langsung dan margin keuntungan kasar bertambah sebanyak 44.5 peratus," katanya dalam satu nota kajian.
Oasis Home sudah menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan terbitan awam sebanyak 100 juta saham baharu dan penjualan kira-kira 50 juta saham sedia ada dengan menyumbang 30 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan.
IPO tersebut kata TA Securities, berharga 28 sen sesaham, yang berdasarkan kepada 17.5 kali ganda pendapatan sesaham (EPS) syarikat berkenaan pada FY24.
“Memandangkan ketiadaan rakan setara tersenarai secara langsung di Malaysia dengan tumpuan utama pada e-dagang, khususnya perdagangan langsung, kami melihat Oasis Home sebagai penanda aras berbanding pemain serantau terpilih," katanya.
Justeru, firma penyelidikan tersebut menyasarkan harga kepada pendapatan (PER) Oasis Home sebanyak 10.8 kali ganda dan turut membayangkan harga sasaran di Bursa Malaysia iaitu 29 sen sesaham berdasarkan EPS pada 2025.
Anggaran hasil FY25 hingga FY27 dijangka disokong pelbagai faktor antaranya perdagangan langsung di Asia Tenggara diunjur pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 42.5 peratus mencecah AS$76.6 bilion menjelang 2027.
TA Securities menyatakan, pengguna Malaysia adalah antara tiga negara teratas yang paling kerap menyaksikan sesi perdagangan secara langsung, selepas Vietnam dan Thailand.
Anggaran saiz pasaran untuk jualan produk gaya hidup pengguna di Malaysia dijangka berjulat antara RM10.3 bilion dan RM65.9 bilion dari 2025 hingga 2027.
"Bahagian pasaran Oasis Home pada 2024 adalah minimum, dan ini menonjolkan potensi yang belum lagi diterokai secara ketara," kata firma penyelidikan itu.
Ia turut menawarkan portfolio komprehensif sebanyak 5,228 unit penyimpanan stok (SKU), yang terdiri daripada gabungan produk jenama dalaman dan pihak ketiga.
Melangkah ke hadapan kata TA Securities, kumpulan itu merancang untuk memperkenalkan sebanyak lima lagi produk kesihatan yang baharu sepanjang FY25.
Oasis Home juga ada rancangan untuk membuka ibu pejabat baharu setinggi tiga tingkat di Sepang, Selangor, dengan jumlah keluasan binaan 1,348 meter persegi bagi memudahkan operasi yang semakin berkembang. - DagangNews.com








