Oasis Harvest ambil alih rangkaian restoran Chef Wan bernilai RM30.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oasis Harvest ambil alih rangkaian restoran Chef Wan bernilai RM30.8 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Jun — Oasis Harvest Corp Berhad mengambil alih Metta Food & Lifestyle Sdn Bhd, yang mengendalikan restoran dan kafe bertema jamuan di bawah jenama De.Wan 1958 by Chef Wan dan Cafe Chef Wan, dengan bayaran tunai RM30.8 juta.

 

Kumpulan itu yang dahulunya dikenali sebagai Dolphin International Berhad, memetarai enam perjanjian penjualan saham bersyarat berasingan untuk tujuan itu, termasuk dengan Globaltec Formation Berhad yang memegang 45 peratus ekuiti dalam Metta.

 

Pada ketika ini, Oasis Harvest memiliki permodalan pasaran hanya berjumlah RM25 juta, yang berdasarkan kepada harga penutup terbaharu dagangannya di Bursa Malaysia sebanyak 17 sen semalam. 

 

"Restoran dan kafe Metta itu ditubuhkan dan diketuai oleh cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail, lebih dikenali sebagai Chef Wan, serta Ketua Pegawai Eksekutif Metta, Andre Shum Khum Yuin," katanya dalam makluman kepada bursa.

 

Baki saham dalam Metta dipegang oleh lima individu, iaitu Datuk Seri Tan Ooi Han, Andre, Datuk Seri Wong Kok Chor yang masing-masing 13.75 peratus, David Liew Poh Sun (6.88 peratus), dan Tan Tung Nguan (6.8 peratus).

 

Pengambilalihan itu kata Oasis Harvest, datang dengan jaminan keuntungan terkumpul minimum selama tempoh dua tahun sebanyak RM5.6 juta daripada Ooi Han dan Andre untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan 2026.

 

Kumpulan tersebut merancang untuk membiayai pengambilalihan itu dengan menggunakan sebahagian hasil daripada pelupusan berterusan tanah perindustrian sebanyak RM6 juta, dan pinjaman bank kira-kira RM24.80 juta.

 

Pinjaman tersebut dijangka meningkatkan tahap penggearan kumpulan berkenaan daripada 0.22 kepada 0.96 dan dijangka dapat diselesaikan menjelang suku keempat tahun ini.

 

Ia menjangkakan pemerolehan itu, bakal mengembangkan aliran pendapatan serta perniagaan makanan dan minumannya selepas menamatkan perniagaan kilang minyak sawitnya.  - DagangNews.com