KUALA LUMPUR 2 Okt – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menyatakan solidariti bersama sekumpulan wartawan The Malaysian Insight dan The Vibes yang berhadapan cabaran menuntut tunggakan gaji selama beberapa bulan dari pihak majikan.
Dalam kenyataan bersama, pertubuhan itu memaklumkan, kegagalan membayar gaji serta lain-lain caruman yang menjadi tanggungjawab majikan merupakan kesalahan di bawah Akta Pekerja 1955.
Katanya, ia juga jelas merupakan satu bentuk penindasan serta mencerminkan kelemahan pengurusan di pihak majikan.
“A ‘free press’ is not free” atau dalam kata lain, ada harga yang perlu dibayar, termasuk dalam bentuk gaji setimpal, untuk membangun lanskap media yang bebas,” katanya menerusi kenyataan tersebut.
"Adalah amat tidak wajar apabila wartawan sebagai pekerja media dilayan seperti peminta sedekah, sedangkan setiap sen dituntut adalah merupakan hasil kerja keras yang menyumbang kepada operasi syarikat.
"Tidak dapat dinafikan pekerja media terlibat akan dihimpit tekanan kewangan dan emosi apabila berdepan dengan tanggungjawab untuk terus menyara diri dan keluarga," kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu NUJM dan Geramm menyeru pihak majikan segera melunaskan semua tunggakan seperti dijanjikan supaya para pekerja media terlibat dapat menentukan hala tuju masa hadapan masing-masing.
Jelasnya, kelangsungan landskap media Malaysia juga dipengaruhi oleh jaminan keadilan terhadap pekerja media dan sebarang bentuk pengabaian tidak boleh dibiarkan.
NUJM dan GERAMM juga menyeru semua pihak agar memberikan sokongan terhadap usaha menuntut hak-hak pekerja media. - DagangNews.com