NUBE bantah ekspatriat dilantik sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NUBE bantah ekspatriat dilantik sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan CIMB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mei — Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) membantah pelantikan seorang ekspatriat dari India, Animesh Mukherjee sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan CIMB dan menggesa supaya perkara tersebut dapat dinilai semula.


Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, CIMB merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan pemegang saham utama ialah dana pelaburan negara, Khazanah Nasional Berhad dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

 

 


Kumpulan perbankan tersebut katanya, turut dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dengan objektif utama ialah untuk menguruskan rizab negara secara berkesan demi manfaat ekonomi dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia akhirnya.


"Dalam konteks CIMB, NUBE berpendirian adalah tidak munasabah dan tidak wajar ekspatriat dilantik untuk satu jawatan penting bagi merangka strategi sumber manusia, budaya tempat kerja dan aspek pembangunan bakat," kata beliau dalam satu kenyataan.

 

 

Animesh Mukherjee
Animesh Mukherjee dilantik pada Julai 2023


 

Solomon berkata, fungsi tersebut sewajarnya dibina atas kefahaman mendalam terhadap nilai dan budaya tempatan serta realiti sosioekonomi negara kerana hampir 100 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja CIMB sendiri adalah rakyat Malaysia.


Mukherjee katanya, jelas menunjukkan kurang kepekaan budaya dan empati sehingga menimbulkan situasi tidak harmoni perusahaan dalam persekitaran kerja dengan banyak keputusannya menunjukkan pemisahan dari isu kebajikan dan aspirasi pekerja tempatan.


Beliau berkata, terdapat beberapa sebab utama mengapa pelantikan itu tidak sesuai dan bertentangan dengan kepentingan negara antaranya kerajaan komited membangunkan bakat tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepakaran kepada warga asing.


"Ini ditegaskan Perdana Menteri menerusi pelbagai kenyataan sejak 2023 demi menyokong kepentingan nasional dan kelestarian ekonomi selain ekspatriat lazimnya berkhidmat secara kontrak jangka pendek yang menimbulkan banyak persoalan," kata Solomon.


Antaranya kata beliau, isu kesetiaan jangka panjang atau pelaburan sebenar dalam pembangunan bakat kerana tidak realistik mengharapkan warga asing memperjuangkan pekerja Malaysia dengan semangat dan komitmen seperti pemimpin tempatan berkelayakan


Pelantikan ini tambah beliau, turut melibatkan kos kewangan yang tinggi, termasuk kos pemindahan, perumahan dan pendidikan anak-anak, yang sepatutnya boleh disalurkan kepada usaha bagi meningkatkan kemahiran pekerja tempatan.


Langkah CIMB itu juga kata Solomon, merupakan satu peluang yang terlepas untuk memperkasakan ramai profesional tempatan yang sebenarnya berkeupayaan dalam memimpin fungsi strategik selaras dengan penjajaran budaya dan semangat dedikasi kebangsaan.


"Justeru, NUBE menggesa pihak berkuasa dan para pemegang taruh CIMB supaya segera menilai semula pelantikan ini dan memastikan barisan kepimpinan masa depan mencerminkan jati diri, keperluan serta aspirasi jangka panjang negara kita," katanya. - DagangNews.com