NTPM kembali catat untung bersih RM2.74 juta pada 3QFY26 dipacu kos bahan mentah rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NTPM kembali catat untung bersih RM2.74 juta pada 3QFY26 dipacu kos bahan mentah rendah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Mac - NTPM Holdings Berhad berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.74 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2026, sekali gus menunjukkan pemulihan semula.


Menurut kumpulan tersebut, pencapaian sepanjang tiga bulan tersebut adalah lebih baik berbanding kerugian bersih kira-kira RM1.95 juta yang pernah dialaminya pada tempoh sama tahun sebelumnya. 


Pencapaian positif ini tambahnya, turut didorong terutamanya oleh faktor penyusutan kos bahan mentah yang menyumbang positif kepada peningkatan margin keuntungan kumpulan berkenaan sendiri.


"Hasil kumpulan bagi 3QFY26 turut meningkat sebanyak 1.6% kepada RM222.6 juta berbanding RM219.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya," kata NTPM dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Pertumbuhan ini sebahagian besar disumbangkan oleh prestasi kukuh dalam segmen produk kertas tisu, dengan hasil naik 8.3% kepada RM162.7 juta menerusi jualan gulungan jumbo dan produk 'coreboard'.


Segmen tersebut kata kumpulan berkenaan, berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang mencecah sebanyak RM1.2 juta berbanding kerugian sebelum cukai kira-kira RM6.4 juta pada 3QFY25.

 

NTPM_DagangNews



Hasil segmen penjagaan diri namun merosot 13% kepada RM59.9 juta disebabkan jualan produk lampin bayi yang lebih rendah, dengan PBT bagi segmen ini juga menurun sebanyak 60.7% kepada RM2.4 juta.


"Bagaimanapun, bagi tempoh terkumpul selaman sembilan bulan yang berakhir pada 31 Januari 2026, NTPM sebenarnya masih kerugian bersih sebanyak RM7.94 juta," kata kenyataan kumpulan berkenaan.


Ini merupakan penurunan ketara berbanding keuntungan bersih RM0.82 juta pada tempoh sama FY25, disebabkan oleh prestasi lemah segmen penjagaan diri dan tekanan kos pada suku-suku terdahulu.


Mengenai prospek masa hadapan, kumpulan menyatakan persekitaran perniagaan kekal mencabar berikutan ketegangan geopolitik, perubahan rangka kerja perdagangan antarabangsa, dan rantaian bekalan. 


Keadaan ini diburukkan lagi dengan konflik di rantau Timur Tengah yang bermula sejak 28 Februari 2026, dan sebagai langkah proaktif, NTPM akan terus memberikan fokus kepada pertumbuhan secara mampan.


"Ini termasuk pelaksanaan strategi pengukuhan pasaran, dan menjalankan kempen jualan sempena ulang tahun ke-50 kumpulan bagi mengekalkan tahap hasil serta margin keuntungan," katanya. - DagangNews.com