KUALA LUMPUR 18 Mac – Northport (Malaysia) Bhd telah menerima 37 unit trak prime mover baharu daripada Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd, iaitu sebahagian daripada pembelian keseluruhan berjumlah 71 unit untuk meningkatkan produktiviti dan kebolehpercayaan operasi di terminal pelabuhan.
Majlis penyerahan diadakan di Dermaga 8A dengan acara simbolik penyerahan replika kunci daripada Pengurus Besar Terberg, Jonathan Teo kepada Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz.
Pembelian itu adalah sebahagian daripada inisiatif pemodenan dan pendigitalan terminal yang sedang dijalankan oleh Northport.
Nik Muzani berkata, pembelian trak prime mover baharu ini akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti operasi Kumpulan dan membolehkan perkhidmatan yang lebih konsisten dan dipercayai kepada pelanggan.
“Ia juga menyokong pertumbuhan mampan dan pengembangan operasi pelabuhan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Trak prime mover model YT220_4x2 itu dikuasakan oleh enjin Cummins berprestasi tinggi, direka untuk meningkatkan kecekapan bahan api, kestabilan operasi dan ciri keselamatan.

Unit ini akan ditempatkan di seluruh terminal untuk memudahkan pergerakan kontena antara dermaga, lapangan kontena dan gudang.
Northport juga dijangka menerima tambahan 20 unit prime mover Sinotruk menjelang April 2026, menjadikan jumlah keseluruhan jentera prime mover mereka sebanyak 190 unit.
Langkah ini selaras dengan strategi syarikat untuk memodenkan operasi dan mempertingkatkan integrasi digital di terminal pelabuhan.
Jonathan Teo berkata kerjasama dua dekad syarikat itu dengan Northport dibina atas asas kepercayaan dan keyakinan.
“Penyerahan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap kecemerlangan operasi dan sokongan berterusan Terberg,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MMC Port Holdings Berhad, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata penambahan jentera moden ini menyokong agenda MMC Ports untuk teknologi mampan, keselamatan dan operasi pintar, sekaligus membangunkan ekosistem pelabuhan yang inovatif dan berdaya tahan. - DagangNews.com








