KUALA LUMPUR 25 Nov – Northeast Group Berhad mencatat prestasi kewangan kukuh bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (4QFY2025) disokong oleh permintaan global yang mantap serta sumbangan jualan yang lebih tinggi daripada industri fotonik dan semikonduktor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Northeast berkata, syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM36.3 juta, meningkat 68.7% berbanding RM21.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
“Keuntungan sebelum cukai melonjak 416.4% kepada RM9.7 juta, manakala keuntungan selepas cukai meningkat 833.6% kepada RM7.1 juta berbanding RM700,000 sebelum ini.
“Bagi keseluruhan tahun kewangan, Northeast mencatatkan hasil RM119.6 juta, meningkat 32.7% berbanding tahun sebelumnya.
“Keuntungan sebelum cukai dan selepas cukai masing-masing adalah RM26.6 juta dan RM20.5 juta, meningkat 39.4% dan 49.5% daripada tahun kewangan sebelumnya,” kata Northeast dalam makluman tersebut.
Prestasi ini didorong terutamanya oleh sumbangan jualan yang lebih tinggi daripada pelanggan di Malaysia, Eropah dan Amerika Utara.
Jika diselaraskan dengan pengecualian perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM3.7 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025, keuntungan sebelum cukai adalah RM30.3 juta, meningkat 58.7%.
Sementara itu, Pengarah Urusan Northeast, Ng Chay Chin berkata, momentum positif sepanjang tahun membuktikan ketahanan model perniagaan syarikat yang menumpukan pada pengeluaran pelbagai produk dengan kuantiti berskala rendah.
“Sarikat telah memulakan pelan pelaburan modal untuk menangani pertambahan permintaan, menyokong pelanggan sedia ada serta memperluas capaian pasaran untuk merebut peluang perniagaan baharu,” katanya.
Northeast Group Berhad terlibat dalam pembuatan komponen kejuruteraan tepat untuk industri fotonik, elektrik dan elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan optoelektronik.
Kumpulan ini mengurus keseluruhan proses pembuatan melalui kepakaran dalaman, termasuk kejuruteraan proses dan sub-perhimpunan mekanikal. - DagangNews.com








