KUALA LUMPUR 9 Mei - Nilai transaksi hartanah di Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 8.9% atau RM5.05 bilion pada suku pertama tahun 2025 (1Q2025), dengan jumlah RM51.42 bilion berbanding RM56.47 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), jumlah transaksi juga berkurang sebanyak 6.2% berbanding tahun sebelumnya, dengan 97,772 transaksi direkodkan pada 1Q2025 berbanding 104,194 pada 1Q2024.
"Pelancaran kediaman baharu meningkat lebih dua kali ganda kepada 12,498 unit pada 1Q2025 berbanding 5,585 unit pada tahun sebelumnya.
"Bagaimanapun, prestasi jualan kekal sederhana pada 10.8%," katanya berdasarkan data terkini.
Napic berkata, walaupun unit kediaman tidak terjual meningkat 1.6% dari segi jumlah dan 7.7% dari segi nilai berbanding suku pertama 2024, melibatkan 23,515 unit bernilai RM15 bilion, prestasinya tetap lebih baik kerana jumlah dan nilai itu menurun 2.9% dan 9.0% berbanding suku sebelumnya.
Tambahnya, unit servis apartmen tidak terjual menurun 6.7% kepada 18,246 unit, dengan nilai keseluruhan juga berkurang 6.9% kepada RM14.61 bilion berbanding tahun lalu.
"Di Johor Bahru, pasaran servis apartmen menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah unit terbiar susut 5.6% pada suku pertama 2025 berbanding suku sebelumnya," ujarnya.
Sementara itu, kadar penghunian kompleks membeli-belah naik sedikit kepada 79.0% berbanding 78.8% pada suku keempat 2024.
Indeks Harga Rumah Malaysia untuk 1Q2025 berada pada 225.3 mata, mencerminkan harga purata rumah sebanyak RM486,070 dan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 0.9%.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak berkata, walaupun pasaran hartanah mencatat penurunan pada suku pertama 2025, ia dijangka kekal kukuh disebabkan oleh kemajuan dalam sektor pembinaan dan peningkatan pelancaran unit kediaman baharu.
"Bagaimanapun, pemain industri dan pemaju perlu kekal berwaspada memandangkan pasaran yang sentiasa berubah, cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan persekitaran luaran," ujarnya. - DagangNews.com








