KUALA LUMPUR 9 April – Nilai saham Hibiscus Petroleum Berhad ketika ini dilihat masih diniagakan pada diskaun kira-kira 33% berbanding asas harga minyak mentah global semasa yang kekal tinggi.
Menurut AmInvestment Bank, keadaan tersebut sekali gus mencerminkan potensi kenaikan memandangkan penilaian terkini saham berkenaan hanya menggambarkan harga Brent sekitar AS$75 (RM298) setong.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, situasi itu jauh lebih rendah daripada unjuran FY26 sebanyak AS$96 (RM382) setong serta paras harga fizikal minyak semasa yang jauh lebih tinggi baru-baru ini.
“Ketidaksepadanan harga ini menunjukkan saham Hibiscus Petroleum masih ketinggalan berbanding asas sebenar pasaran, dan menawarkan peluang nilai yang menarik kepada pelabur,” katanya dalam nota.
Berdasarkan perkembangan itu, AmInvest terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan sektor minyak dan gas (O&G) berkenaan dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah RM2.60 sesaham.
Ujarnya, harga minyak fizikal Brent pernah melonjak kepada AS$146 (RM581) setong, iaitu 24% lebih tinggi berbanding harga niaga hadapan, yang menandakan ketidakseimbangan ketara antara pasaran.
Walaupun ada pelarasan konservatif kepada AS$118 (RM469) setong susulan penurunan terkini, paras itu masih lebih tinggi daripada harga yang tersirat dalam penilaian saham Hibiscus Petroleum.

"Kami menegaskan yang isu kekangan bekalan fizikal tidak mungkin dipulihkan dalam tempoh singkat meskipun terdapat jeda konflik berikutan gencatan senjata selama dua minggu," kata AmInvest.
Ini kerana pergerakan semula kapal tangki minyak ke rantau asal memerlukan sekurang-kurangnya 50 hingga 60 hari, belum termasuk kekangan lain seperti premium insurans dan kerosakan infrastruktur.
Selain itu tambah firma berkenaan, gangguan pengeluaran tidak dirancang kekal tinggi, dipacu oleh Iraq, Arab Saudi dan Kuwait, sekali gus mengekalkan jurang bekalan sekitar 8 juta tong sehari.
AmInvest menjangkakan Hibiscus Petroleum mencatat pertumbuhan pendapatan sekitar 10% tahun ke tahun (YoY) bagi FY26, disokong oleh profil jualan yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini.
"Dengan kos operasi rendah sekitar AS$21 (RM84) hingga AS$23 (RM92) setong setara minyak, syarikat itu berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan harga minyak global yang tinggi," jelasnya.
Selain itu, saham berkenaan kini diniagakan pada kira-kira 5 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) hadapan dengan hasil dividen melebihi 5%, menjadikannya menarik dari sudut pulangan risiko.
Secara keseluruhan, AmInvest melihat saham Hibiscus Petroleum masih mempunyai potensi kenaikan sekitar 33%, disokong oleh asas harga minyak yang kukuh serta ketidaksepadanan penilaian semasa.
Firma penyelidikan itu menambah, selagi kekangan bekalan fizikal berterusan, harga minyak dijangka kekal tinggi dan terus menyokong prestasi syarikat tenaga tersebut. - DagangNews.com








