Nilai saham EcoWorld diniagakan tinggi, peluang pelaburan kurang menarik – penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai saham EcoWorld diniagakan tinggi, peluang pelaburan kurang menarik – penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 SeptEco World Development Group Berhad (EcoWorld) mencatat jualan RM3.84 bilion dalam masa 10 bulan pertama FY25, melepasi sasaran tahunan RM3.5 bilion iaitu dua bulan awal.


Bagaimanapun, penganalisis berpandangan penilaian semasa saham kumpulan itu agak tinggi, dengan MBSB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ meskipun prospek operasi menunjukkan peningkatan.


Semalam, EcoWorld melaporkan pendapatan 9MFY25 sebanyak RM293.6 juta, sejajar jangkaan pasaran dan menyumbang 79% kepada anggaran penuh tahun dengan kadar pertumbuhan 26.4% tahun ke tahun (YoY).


"Kami namun memberi perhatian kepada isu penilaian saham EcoWorld yang kini diniagakan pada premium 32% berbanding nilai aset ketara bersih (NTA) sebanyak RM1.70 sesaham," kata firma penyelidikan itu.


Keadaan ini jelas MBSB Research, menjadikan peluang pelaburan dilihat kurang menarik pada tahap semasa, walaupun prospek projek dan pendapatan masa hadapan kumpulan itu dilihat sebagai cerah.


Berdasaran situasi itu, ia mengekalkan saranan dengan semakan naik kecil harga sasaran (TP) kepada RM2.19 berbanding sebelum ini RM2.15, disebabkan pelarasan diskaun daripada 12% kepada 10%.


Sementara itu, RHB Research kekal optimis prospek EcoWorld dan mengekalkan saranan 'beli' dengan TP lebih tinggi iaitu RM3.00, yang memberi potensi kenaikan 33% dan anggaran hasil dividen FY25 iaitu 3%.


Firma tersebut mengakui keputusan 3QFY25 adalah dalam jangkaan walaupun hasil dan keuntungan menyusut suku ke suku (QoQ) akibat kesan asas tinggi dari penjualan tanah kepada Microsoft.


"Margin pembangunan syarikat ini juga sedikit mengecil kerana peningkatan bil projek Eco Rise yang mempunyai margin lebih rendah berbanding kediaman bertanah," kata firma penyelidikan tersebut.



Artikel berkaitan: EcoWorld catat untung bersih RM101.17 juta, jualan cecah RM3.84 bilion dalam 10-bulan

 

Jualan hartanah jelas RHB Research, terus mencatat momentum kukuh, dengan projek di Iskandar Malaysia menyumbang RM1.99 bilion (52%), diikuti Lembah Klang (38%), dan Pulau Pinang (10%).


Ia turut menjangka sambutan memberangsangkan terhadap pelancaran Eco Botanic 3 dan EBP VII menjelang hujung 2025, berikutan minat tinggi termasuk daripada pembeli industri asing.


Jualan yang belum dibil katanya, kini mencecah RM5.14 bilion, manakala pembangunan pusat data di Puncak Alam yang dijangka siap pada 2HFY27 bakal menjadi pemangkin pertumbuhan jangka panjang.


Dalam pada itu, CGS International (CGSI) turut menyifatkan prestasi EcoWorld sebagai kukuh dan selari ramalan dan CGSI menjangkakan pertumbuhan pendapatan lebih tinggi dalam tempoh mendatang.


"Selain itu, tiga lagi jualan tanah pusat data diunjur menyumbang kepada lonjakan pendapatan FY26, menjadikan projek ini sebagai pemacu utama pertumbuhan pendapatan syarikat," kata firma itu.


EcoWorld juga dijangka melancarkan beberapa projek baharu termasuk dua projek pangsapuri dan CGSI menyatakan keadaan itu mampu menyumbang satu pertiga daripada jualan produk komersial 10MFY25.


Ia mengekalkan saranan 'tambah' dengan TP RM2.58 serta menilai EcoWorld sebagai pelaburan menarik disebabkan prospek pendapatan kukuh, strategi pemajakan tersusun dan hasil dividen kompetitif.


Secara keseluruhan, walaupun tiga firma penyelidikan itu mengakui prestasi jualan dan pendapatan EcoWorld sebagai stabil, pandangan terhadap penilaian saham dan potensi pelaburan adalah berbeza.


MBSB Research lebih berhati-hati, menilai sahamnya sebagai melebihi nilai, manakala RHB Research mengambil pendekatan optimistik, menumpukan kepada momentum jualan dan pertumbuhan jangka panjang.


CGSI pula bersikap positif dengan berwaspada, namun mengekalkan saranan sambil menekankan potensi pendapatan daripada pelancaran pelbagai projek baharu dan pusat data. - DagangNews.com