Nilai ringgit amat kuat lemahkan margin sektor sarung tangan getah pada FY26, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai ringgit amat kuat lemahkan margin sektor sarung tangan getah pada FY26, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac – Pengukuhan ringgit secara mendadak serta kenaikan kos bahan mentah dikhuatiri menekan margin pengeluar sarung tangan getah dalam tempoh yang akan datang, menurut RHB Research.


Keadaan tersebut sekali gus mendorong firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan penarafan 'underweight' ke atas sektor itu, setelah menilai keputusan suku keempat 2025 (4Q25) secara umum.


Dua syarikat mengatasi jangkaan, dua lagi selari dan dua di bawah unjuran, manakala semakan turun pendapatan ketara dibuat susulan andaian baharu kadar tukaran rendah dolar Amerika Syarikat (AS).


"Berdasarkan anggaran agregat kami, hasil sektor sarung tangan getah susut 1% suku ke suku (QoQ) dan 13% tahun ke tahun (YoY) sepanjang tempoh 4Q25," kata RHB Research dalam notanya hari ini.


Bagaimanapun jelas firma berkenaan, peningkatan jumlah jualan sebanyak 2% QoQ membantu dalam mengimbangi penurunan harga jualan purata (ASP) sebanyak 3% serta kesan ringgit yang lebih kukuh.


Tambahnya, ASP bagi sarung tangan kesihatan generik masih dalam trajektori menurun, tetapi titik perubahan mungkin ada berikutan kenaikan harga lateks akibat gangguan cuaca dan bekalan kurang.


Selain itu menurut RHB Research, peningkatan kos 'nitrile butadiene rubber' (NBR) susulan harga input berasaskan minyak mentah yang lebih tinggi, kemungkinan memberi kesan kepada pengeluar.


"Antara perkembangan positif sektor ini ialah peningkatan keuntungan operasi bagi setiap kos 1,000 keping untuk Top Glove Corporation Berhad dan Hartalega Holdings Berhad," kata firma tersebut.


Keadaan ini didorong usaha rasionalisasi kos dan harga input yang lebih stabil, dengan ia  turut menaik taraf saranan Hartalega kepada ‘neutral’ daripada ‘jual’ selepas mencatatkan prestasi baik bagi 3QFY26.


RHB Research menambah, penambahbaikan berpunca daripada kawalan kos dalaman yang lebih ketat dan kecekapan operasi, namun, firma itu mengingatkan pendedahan tinggi kepada sarung tangan jenis NBR.


Kossan Rubber Industries Berhad turut mengatasi jangkaan firma penyelidikan tersebut, dibantu faktor kadar cukai efektif yang lebih rendah, sebaliknya Supermax Corporation Berhad diramal mungkin terjejas. 


"Perkembangan ini akibat kos permulaan sementara kilang kumpulan itu di AS manakala Karex Berhad terkesan tarif serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS yang lebih lemah," jelasnya.


Justeru RHB Research menjangkakan tekanan kos operasi akan meningkat pada 2026 antaranya susulan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing mulai Oktober 2025.


Pelaksanaan mekanisme levi pelbagai peringkat (MLTM) turut boleh meningkatkan kos pengeluaran sehingga 0.5%, di samping risiko penyusutan margin dijangka muncul dalam beberapa suku berikut.


Pengurangan cukai eksais di bawah peruntukan undang-undang AS berpotensi mendorong pengedar menunda tempahan bagi menilai semula strategi harga, serta menimbulkan risiko pelarasan inventori.


"Walaupun kami lebih neutral pada peringkat saham individu, kami mengekalkan pandangan negatif terhadap sektor secara keseluruhan memandangkan defisit penentuan harga," kata RHB Research.


Sektor sarung tangan getah katanya, masih terperangkap antara ringgit yang semakin kukuh dan persaingan sengit global, sementara kos input yang meningkat menambah risiko penurunan lanjut.


Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan kekal berhati-hati terhadap prospek jangka sederhana sektor tersebut berdasarkan situasi semasa pasaran antarabangsa. - DagangNews.com