KUALA LUMPUR 16 April – Nilai aset bersih (NAV) icapital.biz Berhad (ICAP) meningkat sebanyak 10.3% kepada RM557.08 juta bagi tempoh suku ketiga yang berakhir pada 28 Februari 2026 (3QFY26).
Menurut makluman kumpulan pengurusan dana tertutup tunggal tersenarai itu, jumlah tersebut adalah lebih baik berbanding hanya kira-kira RM505.09 juta pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Peningkatan ini dicatatkan meskipun dana tersebut mencatatkan kerugian bersih RM277,000 bagi suku di bawah tinjauan, disebabkan penerimaan pendapatan faedah dan dividen yang lebih rendah.
"Memandangkan ia merupakan dana tertutup, pergerakan NAV merupakan petunjuk prestasi yang lebih tepat berbanding keuntungan atau kerugian bersih semata-mata," maklum ICAP kepada Bursa Malaysia.
Lonjakan tersebut ujar kumpulan itu, didorong terutama oleh perubahan nilai saksama bersih dalam pelaburan syarikat, menyaksikan NAV sesaham meningkat kepada RM3.95 setakat 28 Februari 2026.
Angka itu juga lebih tinggi berbanding RM3.58 pada tahun lalu, manakala bagi prestasi hasil, ia mencatatkan kira-kira RM2.38 juta untuk suku ketiga, menyusut daripada RM2.96 juta pada suku sama FY25.
Sementara itu, bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, ICAP mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM118,000, dan iaitu susut berbanding RM284,000 bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Hasil keseluruhan bagi tempoh tersebut berjumlah RM8.80 juta, merangkumi pendapatan dividen yang sebanyak RM6.62 juta dan pendapatan faedah berjumlah RM2.18 juta," jelas kumpulan berkenaan lagi.
Portfolio pelaburan utamanya diterajui oleh Kelington Group Berhad (15.92%), Sam Engineering & Equipment (M) Berhad (10.85%), Padini Holdings Berhad (8.52%) dan United Plantations Berhad (8.27%)
Pengurus dana dalam ulasannya menekankan ICAP terus diurus berdasarkan falsafah pelaburan nilai mengutamakan margin keselamatan, dengan objektif mencapai peningkatan modal. - DagangNews.com








