Ni Hsin rancang pemasangan motosikal elektrik jenama Surron di Malaysia melalui kerjasama syarikat China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ni Hsin rancang pemasangan motosikal elektrik jenama Surron di Malaysia melalui kerjasama syarikat China

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 April – Ni Hsin Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NHEVT) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Chongqing Qiulong Technology Co Ltd bagi meneroka kerjasama dalam bidang pemasangan motosikal elektrik.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ni Hsin berkata MoU tersebut membuka ruang kepada perbincangan antara kedua-dua pihak ke arah pemeteraian perjanjian muktamad bagi perkhidmatan pemasangan motosikal elektrik jenama SURRON di Malaysia.

 

“Di bawah cadangan kerjasama itu, NHEVT akan menyediakan perkhidmatan pemasangan secara eksklusif di Malaysia bagi motosikal elektrik off-road jenama SURRON yang dibekalkan dalam bentuk komponen “completely knocked down” (CKD) oleh Qiulong,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Chongqing Qiulong Technology Co Ltd merupakan pengeluar serta pemilik jenama SURRON, yang dikenali sebagai antara perintis global dalam pembangunan motosikal elektrik off-road serta segmen sukan dan gaya hidup lasak.

 

Sementara itu, Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. dijangka memainkan peranan sebagai hab pemasangan di Malaysia, selaras dengan strategi kumpulan induknya, Ni Hsin Group Berhad, untuk mengembangkan perniagaan dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dua roda.

 

MOU tersebut turut menetapkan tempoh rundingan eksklusif selama enam bulan, di mana NHEVT dan syarikat berkaitan tidak dibenarkan berunding atau memeterai sebarang perjanjian dengan pihak ketiga yang dianggap pesaing dalam tempoh berkenaan.

 

Pemeterian perjanjian muktamad adalah tertakluk kepada beberapa syarat termasuk kejayaan proses usaha wajar (due diligence) dari aspek undang-undang, kewangan dan operasi, selain persetujuan terma komersial seperti harga, kawalan kualiti, cukai, liabiliti produk serta hak harta intelek.

 

Ni Hsin berkata kerjasama ini juga akan merangkumi aspek kelulusan jenis kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta perincian berkaitan struktur operasi dan mekanisme pembayaran antara kedua-dua pihak.

 

Menurut syarikat itu, MoU berkenaan dijangka menyokong pengembangan operasi NHEVT dalam segmen motosikal elektrik off-road di Malaysia, namun tidak memberi kesan material terhadap prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. - DagangNews.com