NGO, profesional tolak RUU Akta Pembaharuan Bandar, gesa reformasi rangka undang-undang sedia ada | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NGO, profesional tolak RUU Akta Pembaharuan Bandar, gesa reformasi rangka undang-undang sedia ada

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Sept - Sembilan organisasi melibatkan parti politik, NGO, kumpulan profesional serta wakil masyarakat bandar sebulat suara menolak Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar atau Urban Renewal Act (URA) yang sedang digubal, dengan menyifatkannya mempunyai ketirisan struktur yang serius dan berisiko menjejaskan hak rakyat.

 

Penolakan itu dizahirkan melalui kenyataan bersama pada INSAP Urban Affairs Policy Summit (UAPS) 2025 yang berlangsung di Wisma MCA pada Sabtu.

 

Antara pihak yang menandatangani kenyataan berkenaan ialah MCA, Institut Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Persatuan Tindakan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Mampan (KLRA+SD), Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Persatuan Rekabandar Malaysia (PEREKABANDAR), G25 Malaysia, Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Institut Penilai Diraja Malaysia (RISM) serta Institut Pengurus Hartanah dan Fasiliti Malaysia (MIPFM).

 

Enam kelemahan utama URA

Menurut peserta sidang, terdapat enam isu berulang yang menjadikan URA tidak wajar diteruskan dalam bentuk sedia ada:

  1. Hak milik terhakis – Had persetujuan di bawah 100% bercanggah dengan Perlembagaan dan membolehkan pemilik minoriti dipaksa menyerahkan hartanah.

  2. Kuasa terpusat – Budi bicara menteri dan jawatankuasa eksekutif persekutuan terlalu besar sehingga melemahkan bidang kuasa negeri berkaitan tanah.

  3. Cenderung kepada pemaju – Pemaju diberi ruang untuk memulakan projek, mendapatkan persetujuan dan mempengaruhi penilaian, sekali gus meminggirkan komuniti.

  4. Fokus sempit kepada perobohan – Draf hanya menekankan pembinaan semula, tanpa menimbang pilihan seperti pemulihan, guna semula adaptif atau revitalisasi.

  5. Perlindungan lemah untuk golongan rentan – Penyewa, warga emas, OKU dan B40 terdedah kepada kehilangan rumah tanpa pampasan atau sokongan mencukupi.

  6. Duplikasi undang-undang – Akta sedia ada seperti Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Akta Perancangan Bandar & Desa 1976 sudah menyediakan kerangka yang memadai, menjadikan URA bertindih tanpa menyelesaikan isu pembiayaan serta tadbir urus.

 
 

INSAP

 

INSAP

 

INSAP

 

insap

 


Cadangan laluan alternatif

Sebagai gantinya, mereka menuntut model pembaharuan yang diketuai pemilik melalui perbadanan pengurusan dengan sokongan profesional bebas, serta pemilihan pemaju menerusi tender telus.

 

Selain itu, mereka mahu keputusan pembangunan semula melalui semakan Parlimen dan tribunal bebas, pampasan yang lebih adil termasuk skim sewaan dan perkongsian ekuiti, penilaian impak sosial serta trafik yang diwajibkan dalam undang-undang, dan peranan kerajaan negeri serta PBT diperkasa seiring Perlembagaan.

 

Seruan kepada kerajaan

Kenyataan bersama itu menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta pihak berkuasa negeri dan persekutuan menarik balik draf RUU URA, melaksanakan moratorium terhadap projek yang didorong pemaju, serta memulakan rundingan inklusif pelbagai pihak berkepentingan.

 

“Pembaharuan bandar mesti berasaskan kerangka undang-undang sedia ada dengan menutup segala kelompongan, sambil memastikan perlindungan perlembagaan kepada pemilik dan penyewa. Masa depan bandar Malaysia tidak boleh ditentukan oleh agenda komersial sempit,” tegas kenyataan itu.

 

Sidang UAPS 2025 turut menegaskan sebarang undang-undang pembaharuan bandar perlu berpaksikan rakyat, mengekalkan jalinan komuniti, melindungi golongan terdedah serta mengangkat pembangunan lestari dan inklusif. - DagangNews.com