KUALA LUMPUR 5 Mac – NexG Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd menggantung sementara peranan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Hanifah Noordin, berkuat kuasa serta-merta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NexG berkata keputusan itu dibuat oleh majoriti Lembaga Pengarah bagi memastikan semakan terhadap pelaburan syarikat dalam saham tersenarai awam dijalankan secara telus, bebas dan teratur.
“Semakan ini adalah sebahagian daripada usaha NexG selaras komitmen Kumpulan terhadap tadbir urus korporat yang kukuh, berakauntabiliti dan menitikberatkan ketelusan,” katanya.
Pada November 2025, Lembaga Pengarah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai kesesuaian beberapa pelaburan dalam syarikat tersenarai.
Jawatankuasa ini dibantu oleh pihak ketiga yang bebas untuk mengumpul fakta dan memberikan input profesional.
ARTIKEL BERKAITAN: NexG diminta penjelasan oleh Bursa Malaysia susulan saham jatuh ke paras terendah enam bulan
Pelaburan yang disemak itu baru-baru ini menjadi tumpuan awam selepas NexG melaporkan keputusan kewangan suku ketiga 2025 yang menunjukkan pelarasan nilai wajar sebanyak kira-kira RM145.6 juta.
Pelarasan ini menyumbang kepada kerugian bersih syarikat sebanyak RM130.88 juta pada suku berkenaan.
NexG menegaskan bahawa penggantungan kuasa dan fungsi eksekutif Hanifah adalah langkah pentadbiran semata-mata untuk mengekalkan integriti proses semakan dan bukan berkaitan salah laku.
Sepanjang tempoh penggantungan ini, operasi dan perniagaan NexG akan diteruskan seperti biasa di bawah pengawasan Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada.
Lembaga Pengarah juga akan memberikan maklumat terkini apabila perlu berkaitan perkembangan terbaharu perkara itu. - DagangNews.com








