NewParadigm Securities rangkul 7 kemenangan pada Anugerah Pencapaian FinanceAsia 2024 di Hong Kong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NewParadigm Securities rangkul 7 kemenangan pada Anugerah Pencapaian FinanceAsia 2024 di Hong Kong

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mac — NewParadigm Securities Sdn Bhd melakar pencapaian penting apabila berjaya merangkul tujuh kemenangan berprestij pada Anugerah Pencapaian FinanceAsia 2024 di Hong Kong.
 

Firma tersebut memperoleh kesemua anugerah berkenaan dalam empat kategori utama, yang turut menyerlahkan kecemerlangannya dalam inovasi kewangan dan pengurusan perjanjian strategik.
 

Menurut kenyataan syarikat sekuriti tersebut, kejayaan berkenaan meliputi antaranya dalam kategori Tawaran Kewangan Mampan Terbaik untuk pemenang Asia Pasifik, Asia Tenggara, dan Malaysia.
 

Ia turut meraih anugerah dalam kategori Tawaran Kewangan Islam Terbaik untuk Malaysia dan kepujian Asia Tenggara manakala sebagai pemenang Tawaran Hartanah Terbaik untuk Malaysia.
 

Syarikat tersebut juga diumumkan sebagai berjaya dalam memenangi kategori Tawaran Kewangan Berstruktur Terbaik dengan menerima anugerah Kepujian untuk Asia Tenggara.
 

"Pengiktirafan itu menyerlahkan dedikasi kami untuk memajukan ekosistem kewangan mampan di Malaysia dan mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai peneraju global dalam kewangan Islam," katanya dalam kenyataan itu.
 

Selain itu, NewParadigm Securities telah diberi penghormatan dengan anugerah Sukuk SRI Hijau ASEAN Terbaik di Asia Tenggara pada Anugerah Tawaran & Penyelesaian Terbaik Tahunan Alpha Asia Tenggara ke-18 2024.
 

Penghargaan berprestij ini mengiktiraf sumbangan besar firma berkenaan terhadap kewangan mampan dan kepimpinannya dalam menstruktur penyelesaian Sukuk hijau yang inovatif.
 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Charanjeev Singh berkata, kejayaan itu adalah bukti komitmen syarikat dalam menyampaikan rumusan kewangan berkesan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi sambil diselaraskan dengan prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) serta Syariah.

 

“Sukuk Hijau menjadi pemacu utama dalam pembiayaan projek yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, dan pengiktirafan ini mengukuhkan lagi keazaman kami untuk menerajui segmen ini,” katanya.
 

Sementara itu, Timbalan CEO Kumpulan NewParadigm Securities, Danny Kwan berkata, kemenangan dalam pelbagai kategori itu mencerminkan dedikasi dan kepakaran pasukan syarikat tersebut.
 

"Kami kekal fokus dalam merintis rumusan kewangan yang mencipta nilai secara berkekalan untuk para pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” kata beliau.
 

Kedua-dua anugerah berkenaan katanya, meraikan kecemerlangan dalam pasaran perbankan dan modal, serta mengiktiraf institusi yang menunjukkan inovasi, pelaksanaan dan impak yang cemerlang dalam urus niaga kewangan.
 

Dengan pengiktirafan penting ini, syarikat sekuriti itu komited untuk terus menerajui sektor kewangan Islam yang mampan, serta menetapkan penanda aras baharu untuk pelaburan yang bertanggungjawab di rantau ASEAN dan seterusnya. - DagangNews.com